Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Badan Peguam: Najib, Apandi sama di sisi undang-undang

Semua individu adalah sama di sisi undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Sehubungan itu mereka harus bertanggungjawab di bawah undang-undang.

Perkara itu diberitahu oleh Badan Peguam Malaysia di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini dalam permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan peguam negara membersihkan perdana menteri daripada kes 1MDB.

Di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah,  Badan Peguam juga menyatakan bahawa 1MDB melibatkan wang pembayar cukai dan disokong oleh jaminan kerajaan.

Atas sebab ini, Badan Peguam berkata ia mempunyai kepentingan untuk mencabar keputusan yang dibuat oleh peguam negara kerana skandal 1MDB "melibatkan dana awam yang hebat dan tidak pernah didengar di negara ini".

Mereka berhujah bahawa Najib mungkin mempunyai konflik kepentingan kerana beliau juga adalah menteri kewangan dan pengerusi penasihat lembaga 1MDB.

Badan Peguam juga menegaskan bahawa Apandi juga mungkin bertindak di dalam konflik apabila membuat keputusan membersihkan Najib dan menasihatkannya agar tidak memberi jawapan di parlimen.

"Siasatan oleh agensi-agensi asing di Amerika Syarikat, Switzerland, Singapura dan Luxembourg juga hebat dan tidak pernah didengari.

"Laporan mengenai masalah 1MDB adalah satu kes salah laku yang besar dan terang-terangan dan ia mempunyai refleksi dahsyat di Malaysia," Badan Peguam Malaysia memberitahu mahkamah.

Mereka berkata, bagi sebab-sebab ini, mahkamah perlu memberi kebenaran kepada mereka supaya permohonan penuh semakan kehakiman boleh didengar berdasarkan merit.

Ini adalah permohonan kali ketiga untuk mencabar keputusan peguam negara.

Sebelum ini, mahkamah mendengar secara berasingan hujah daripada peguam yang mewakili bekas menteri Datuk Zaid Ibrahim dan bekas Naib Ketua Bahagian Umno Batu Kawan Datuk Khairuddin Abu Hassan untuk mencabar keputusan Apandi kerana tidak mendakwa Najib.

Badan Peguam Malaysia diketuai oleh sepasukan peguam termasuk Tommy Thomas, Datuk Ambiga Sreenevasan, S Ravindran dan Fahri Azzat.

Lihat Komen
ADS