Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Awak jangan bongkak sebab awak kecil, kata Nazri

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata bahawa mereka yang "besar" boleh mendisiplinkan mereka yang "kecil" merujuk kepada kritikan pedasnya terhadap Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.

“Saya bongkak sombong kerana anak kapal sombong.

“Dalam kapal kita kena ajar disiplin sebab itu saya nak cerita pada dia (Ti), awak jangan bongkak sebab awak kecil.

“Jadi saya bongkak sebab saya besar saya boleh ajar dia,” kata Nazri yang juga adalah menteri pelancongan kepada Malaysiakini.

Semalam, Ti membidas Nazri yang sentiasa angkuh dan mengeluarkan kenyataan “Umno bongkak pun kita menang pilihan raya", sambl mengingatkan pemimpin Umno itu bahawa kapten kapal tidak akan memperlekehkan anak kapal dan bahawa dirinya hanya "pembantu" kepada kapten.

Ini susulan selepas Nazri melabel MCA sebagai “parti kecil" kerana hanya mampu memenangi tujuh kerusi parlimen dan mencabar parti Cina itu supaya meninggalkan BN.

Nazri berkata walaupun dirinya hanya sebagai "pembantu", namun beliau tetap memenangi pilihan raya tetapi perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai MCA.

“Saya pembantu nahkoda sebab saya terror. Walaupun saya hanya pembantu nahkoda, rakyat pilih saya.

“Yang dia (Ti) ini saya tak tahu latar belakang. Pernah bertanding ke? Kalau rakyat tak pernah pilih dia jangan cakap besar.

“Saya cakap besar kerana anak kapal bodoh dan bongkak,” katanya.

Nazri turut membidas Ti kerana berkata dirinya tidak akan menjadi menteri kabinet tanpa bantuan parti komponen yang menjadikan BN kuat.

Nazri juga berang dengan cabaran pemimpin MCA itu suapay beliau bertanding pada pilihan raya umum akan datang bukan atas tiket BN.

“Yang dia suruh saya keluar BN kenapa? Saya tak pernah merungut pun, yang suka merungut ni MCA.

“Yang kata Umno merugikan dia, kalau Umno rugikan dia, dia yang kena keluar. Ini apa pasal pula saya yang kena keluar? Saya tak pernah merungut pasal BN pun.

“Ini lah bodohnya Ti Lian ke ini,” katanya.

Logo Umno

Menurut Nazri, beliau bersedia bertanding di bawah logo Umno dan bukan BN jika parti Melayu itu membenarkannya.

Nazri berkata, beliau tetap menang di parlimen Padang Rengas pada pilihan raya umum lalu walaupun MCA bahagian itu memulaukannya.

“Saya nak bagitahu pada dia (pada) 2013, MCA Padang Rengas buat sidang media boikot saya dalam PRU13, tapi saya menang besar juga walaupun MCA ajar orang dia dan pengundi supaya jangan undi saya.

“Tapi saya menag majoriti besar. Saya bertanding 2013 bukan atas sokongan MCA.

“Oleh itu saya berhak saya kata saya menang bukan atas sokongan MCA, ini fakta. Sampai sekarang MCA Padang Rengas tak pernah tarik balik pengisytiharan boikot pada saya,” katanya.

Perang mulut antara Nazri dan Ti tercetus selepas pemimpin MCA itu menggesa Umno mengubah taktik politik ‘jaguh kampung’ iaitu dengan menakut-nakutkan bangsa lain untuk memenangi hati pengundi Melayu.

Ti berhujah retorik Umno itu membantu parti Melayu berkenaan memenangi undi di kawasan luar bandar tetapi taktik seumpamanya menghakis sokongan pengundi bandar di kawasan majoriti Melayu dan mengorbankan rakan-rakan gabungan BN.

Mengulas lanjut, Nazri mengulangi cabarannya supaya MCA meninggalkan BN kerana berterusan mempersalahkan Umno setelah ditolak oleh masyarakat Cina.

“Saya saran dia keluar BN sebab berkali-kali dia tuduh Umno ni punca kekalahan dia, saya hairan MCA bila MCA kalah Umno yang salah. Ini orang gila punya keputusan.

“Saya mudah, siapa kata Umno tak bantu keluarlah,” katanya.

Lihat Komen
ADS