Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tengku Adnan: Ramai minta, rayu-rayu mahu kembali ke Umno

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mendakwa, ramai ahli parti itu sebenarnya merayu untuk kembali ke pangkuan parti berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, semalam bahawa ada pemimpin bahagian Umno dari Kedah merancang untuk meninggalkan parti.

"Beliau (Mukhriz) kata orang mahu keluar, tetapi orang yang dipecat juga mahu kembali (ke Umno).

“Sebenarnya banyak yang minta, rayu-rayu (mahu kebali ke Umno).

“Banyak, jadi nak bagi senarai, saya tak ada (sekarang). Lain kali saya bagi senarai," kata Tengku Adnan pada sidang media selepas Program Ibadah Korban Sempena Aidiladha peringkat Parlimen Putrajaya, hari ini.

Sambil menyifatkan senarai mereka yang merayu menyertai semula Umno panjang, beliau berkata ‘macam-macam dilakukan’ mereka yang keluar parti termasuk mendakwa tindakan diambil parti itu adalah tidak adil dan tidak mengikut prosedur.

Mukhriz membuat kenyataan itu selepas Pengerusi Tetap Umno Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan Timbalan Ketua Umno bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti keluar parti semasa mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing pada Sabtu lalu.

"Baharom dan yang lain, mereka adalah anggota parti yang sentiasa kontroversi.

"Lebih baik mereka keluar (parti) daripada menjadi duri dalam daging, " kata Tengku Adnan yang juga adalah menteri wilayah persekutuan.

Mukhriz, Sabtu lalu berkata "sebilangan" pemimpin bahagian memaklumkannya, bahawa mereka sudah tidak lagi mampu bersabar, dan sedang mempertimbangkan untuk meninggalkan Umno.

Ini berlaku selepas pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) cetusan Tun Dr Mahathir Mohamad mendapat kelulusan daripada Pendaftar Pertubuhan, minggu lalu.

Ditanya kemungkinan lebih ramai yang mungkin mengikut tindakan Baharom dan Tosrin, Tengku Adnan berkata ‘tidak ada masalah bagi mereka mahu keluar parti’ kerana ia tidak menjejaskan Umno.

Ditanya kemungkinan lebih ramai yang mungkin mengikut tindakan Baharom dan Tosrin, Tengku Adnan berkata ‘tidak ada masalah bagi mereka mahu keluar parti’ kerana ia tidak menjejaskan Umno.

Menurutnya tindakan keluar daripada parti adalah jalan terbaik bagi anggota Umno yang menimbulkan kontroversi.

"Mungkin ada pihak cuba tarik anggota Umno tetapi saya yakin anggota-anggota terus bersatu bersama Umno...anggota-anggota Umno sedar bahawa ia sebuah parti berstruktur, ada hala tuju dan bermatlamat bagi memastikan Malaysia terus aman dan sejahtera," katanya.

Mengenai penggantungan bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno Mohd Rafiq Naizamohideen, Tengku Adnan berkata tindakan itu diambil selepas siasatan menyeluruh dilakukan dan terdapat bahan bukti kukuh seperti cakera padat video (VCD) serta rakaman.

"Oleh itu, jika tidak berpuas hati (dengan parti), janganlah suarakannya kepada umum dan mencalar imej parti. Sebab itulah, kami mengambil tindakan terhadapnya. Sepatutnya, suarakan sebarang ketidakpuasan hati dalam parti," kata beliau.

Mohd Rafiq digantung sebagai anggota Umno selama enam tahun atau dua penggal manakala jawatannya sebagai exco Pemuda Umno turut digugurkan.

Beliau didakwa cuba mensabotaj Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Menteri
Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Sempena Aidiladha hari ini, Tengku Adnan menyumbangkan 120 ekor lembu untuk dikorbankan dan diserahkan kepada Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Perbadanan Putrajaya (PPj), Kementerian Wilayah Persekutuan, surau dan masjid selain diagihkan kepada cawangan Umno di Parlimen Putrajaya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS