Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sindiket 'mualaf' mahu tipu Baitulmal
Diterbitkan:  Sep 25, 2016 3:44 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mendedahkan wujud sindiket mempergunakan golongan mualaf di negara ini bagi mendapatkan bantuan kewangan.

Timbalan Pengurus Baitulmal Maiwp, Ahmad Tarmizi Yahya berkata perkara tersebut perlu didedahkan selepas banyak mempersoalkan kesukaran golongan itu mendapatkan bantuan daripada agensi di bawah majlis agama Islam.

"Kita kena faham dan tidak mudah percaya dengan apa yang diviralkan, kadang-kadang ada yang sudah mampu (berdikari) tetapi masih mahukan bantuan.

"Kita juga bukan sahaja meneri laporan mereka menerima bantuan dari gereja saja tetapi kadang-kadang ia juga seperti sindiket pula yang menjadikan asnaf sebagai mangsa.

"Bila dapat bantuan dibahagikan kepada mereka yang terlibat," kata Ahmad bagi menjawab soalan salah seorang peserta yang minta penjelasan mengenai peranan Baitulmal membantu golongan mualaf itu.

Ahmad berkata demikian di Seminar Kebangsaan Kelangsungan Dakwah dan Pemerkasaan Islam di Malaysia di Kompleks Karangkraf Shah Alam, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad tidak mengulas lanjut sejauh mana aktiviti sindiket mempergunakan mualaf berleluasa di negara ketika ini.

Terdahulu Ahmad membicarakan tentang isu pengagihan zakat kepada mualaf dan cabarannya.

Mengulas lanjut Ahmad berkata isu golongan mualaf yang mendapatkan bantuan kewangan di gereja, beliau menjelaskan sebahagian daripada mereka memang dibantu sepenuhnya.

Tak sampai 5 minit habis

Namun katanya malangnya perkara itu tidak diuar-uarkan, sebaliknya yang terus-menerus disebarkan ialah isu kegagalan Baitulmal.

"Sebenarnya kalau kita lihat isu-isu yang diviralkan di laman media sosial ini, bukan perkara baru. Sebilangan besar mereka sudah menerima bantuan zakat tetapi ia tidak diuar-uarkan dan itu yang menjadi masalah," kata Ahmad.

Justeru, Ahmad meminta semua pihak memahami kedudukan sebenar agensi pengagih zakat sebelum menyebarkan berita yang belum pasti kesahihannya.

"Kita kena faham dalam konteks pemberian zakat ini, ada syarat dan caranya, serta tidak semudah itu.

"Cuba kita letak RM10,000 di sini dan siapa-siapa yang perlukan bantuan boleh ambil.

"Saya rasa jika ini berlaku, semua orang boleh datang ambil dan bukan asnaf pun datang. Tak sampai lima minit akan habis. Silap-silap saya yang beratur nombor satu didepan," kata Ahmad.

Sementara itu, Naib Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) A.Karim Omar turut memperakui apa yang dinyatakan Ahmad.

Katanya orang yang tidak terlibat dalam operasi pengagihan bantuan tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku.

Di Selangor katanya ada skuad mencari asnaf untuk menyerahkan bantuan selepas mereka disahkan layak.

Tetapi katanya yang menjadi masalah sekarang adalah kewujudan sindiket mempergunakan mualaf untuk mendapatkan bantuan daripada agensi yang berkenaan.

Malah A Karim sendiri berdepan dengan beberapa kes yang meminta bantuan daripadanya.

"Kes pertama dan kedua selesai tetapi selepas itu bertambah ramai, kemudian saya siasat ia merupakan satu sindiket mengaku masuk Islam dan dapat RM1,500.

"Daripada RM1,500 itu ia dibahagikan dengan sindiket tersebut lepas itu (mereka) hilang entah kemana.

"Memang jahat setengah orang ini sebab itu bukan senang nak bagi duit Baitulmal," katanya.

Lihat Komen
ADS