Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ADUN Jorak dipecat serta merta sebagai pengerusi ITBM
Diterbitkan:  Oct 8, 2016 5:56 AM
Dikemaskini: 10:03 PM

Anggota Dewan Undangan Negeri Jorak, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh dipecat serta merta sebagai pengerusi lembaga pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) berkuatkuasa semalam.

Kementerian Pendidikan mengumumkan pemecatan itu dalam kenyataannya lewat malam tadi, kira-kira 24 jam selepas beliau dilantik sebagai setiausaha agung serpihan Umno, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin.

Menurut kementerian, penamatan perkhidmatan beliau dibuat berdasarkan kuasa menteri pendidikan bawah Artikel 135(1) Tataurusan Syarikat ITBM.

“Sehubungan dengan itu adalah dimaklumkan bahawa YB Datuk Dr Shahruddin Md Salleh telah ditamatkan serta merta sebagai pengerusi Lembaga Penagrah ITBM,” kata kementerian.

Shahruddin pertama kali dilantik ke jawatan itu pada Februari 2010.

Pelantikan Shahruddin ke jawatan kanan BERSATU dipercayai secara automatik membuatkan beliau gugur keanggotaan Umno dan menjadi wakil pembangkang dalam dewan negeri.

Malah, lebih buruk bagi BN, ia menyebabkan parti itu hilang majoriti dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) dan menyukarkannya meminda undang-undang Johor.

Dengan itu, ADUN BN Johor berkurangan daripada 38 kepada 37, manakala pembangkang bertambah daripada 18 kepada 19 orang ADUN.

ITBM (sebelum ini dikenal sebagai Institut Terjemahan Negara Malaysia) ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia pada 1993 untuk menyediakan prasarana bagi mewujudkan industri terjemahan di negara ini.

Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan, modal asas ITBM dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) manakala pentadbirannya diselia oleh Kementerian Pendidikan.

Lihat Komen
ADS