Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pembantu Rosmah bidas sikap membisu Maria berhubung 'kubur' Najib
Diterbitkan:  Oct 18, 2016 3:09 PM
Dikemaskini: 7:15 AM

Datuk Rizal Mansor berkata Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah wajar membuat laporan polis berikutan gambar yang diubah suai memaparkan kepalanya dipenggal kononnya sebagai mangsa kumpulan pengganas IS.

Namun, pembantu kepada isteri perdana menteri itu mempersoalkan sikap pilih kasih Maria dan Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan yang tidak bersuara terhadap pendemo BERSIH yang membuat aksi ‘mock’ kubur untuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

“Memang patut Maria Chin buat laporan polis berkenaan gambar edit IS dengan wajah beliau. PDRM wajib menyiasat perkara ini.

“Tetapi saya pelik dan hairan mengapa Maria Chin langsung tidak bersuara bila pendemo-pendemo BERSIH tahun lepas membuat aksi 'mock' kubur untuk PM dan isterinya?

“Lebih dahsyat apabila ada juga yang menjalankan acara pengebumian tradisional Cina juga,” tulis Rizal di Facebooknya hari ini.

Hari ini Maria, Ambiga dan pegawai urus setia BERSIH Mandeep Singh dijadualkan membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh daripada individu tidak dikenali.

Mesej yang diterima adalah berbentuk gambar pemenggalan kepala oleh IS di mana muka mangsa sebenar diubahsuai dengan muka Maria, Mandeep, dan Ambiga.

Rizal dalam kenyataannya turut memuat naik gambar lakaran potret Najib dan Rosmah oleh peserta BERSIH yang kononnya bahawa kedua-dua mereka telah meninggal dunia.

Selain itu, ada peserta yang turut membawa poster “hell note” atau duit neraka dengan wajah Najib pada perhimpunan itu.

Mengulas lanjut, Rizal mempersoalkan tindakan Maria dan Ambiga yang tidak bersuara terhadap sikap biadab peserta BERSIH.

“Kenapa Maria Chin dan Ambiga langsung tidak bersuara apabila pendemo BERSIH memaparkan kebiadapan dan mengancam seperti itu.

“Adakah anda mengamal double standard?”soalnya.

Lihat Komen
ADS