Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti perjelas puisi 'ke mana pergi subsidi kami'
Diterbitkan:  Nov 1, 2016 8:51 PM
Dikemaskini: 1:05 PM

Walaupun ditulis enam tahun lalu, di tengah-tengah kontroversi terbaru pembatalan subsidi minyak masak, kecuali bagi paket 1kg, puisi mufti Perlis mungkin kembali relevan.

Menulis di Facebook semalam, Datuk Dr Asri Zainal Abidin mengakui ramai yang bertanya sama ada benar atau tidak beliau menulis puisi berjudul "Ke mana pergi subsidi kami?".

Puisi panjang itu, yang dimuat naik ke laman web beliau pada September 2010 itu antaranya mengkritik keras "rampasan" subsidi yang menurutnya menyebabkan rakyat makin susah susulan tindakan "pencuri harta bumi rakyat marhaen".

“Ramai bertanya; benarkah saya yang menulis puisi ini? Sebenarnya, puisi ini bukan puisi baru. Ia saya tulis pada tahun 2010.

“Saya tulis dengan perasaan saya sebagai seorang rakyat marhaen ketika itu dan kini masih marhaen yang sama,” katanya dalam tulisan bertajuk “Betulkah puisi Dr MAZA?”.

Mengulas puisi itu, Asri berkata “sebagai insan yang lemah”, beliau tidak dapat berdiam dan turut merasa penderitaan golongan bawahan.

“Seluruh urat dan nadi saya rasa bagai digoncang dan seakan memberontak dari dalam. Saya sering cuma untuk mengawalnya. Ia benar-benar menghiris-hiris jantung saya.

“Maka, antara cara meringankannya, saya berkarya agar ada sedikit luahan bebanan rasa. Maka, puisi ini lahir dalam keadaan seperti itu,” katanya sambil berkata ia ditulis ketika umurnya belum lagi 40 tahun.

Dicadangkan diam

Bagaimanapun, dedahnya, tulisan itu mengundang nasihat sebaliknya apabila ada pihak mahu beliau hanya menyimpannya dalam hati.

“Mereka cadangkan agar saya diam apatah lagi apabila ada kaitan dengan politik. Kata mereka hal itu boleh membawa banyak kesusahan kepada saya.

“Nanti ramai pihak cuba bertindak balas dengan pelbagai cara lalu potensi saya yang lain akan dipinggirkan. Kepada Allah saya serahkan segala urusan,” katanya.

Justeru, katanya, di era 40-an beliau kini cuba menelan nasihat itu, apatah lagi ketika berjawatan rasmi sebagai mufti.

“Saya mencuba sedaya upaya dalam membenam banyak rasa yang membara di jiwa. Walaupun hakikatnya ia amat pedih dan tidak mudah bagi sistem diri saya ini. Insya-Allah saya cuba,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, di samping menelan “sabar yang mencabar”, beliau sendiri mempunyai persoalan lain dalam dirinya.

“Jika ada yang bertanya; betulkah itu puisi Dr MAZA. Jawab saya; ya, itu puisi lama. Masa darah muda sebelum angka 40 menjelma.

“Cuma minda saya sendiri tertanya; semalam ataupun hari ini yang lebih benar dan wajar?” katanya.

Lihat Komen
ADS