Seorang ahli parlimen pembangkang hari ini menggesa Putrajaya mengambil pendirian lebih tegas dalam menangani isu pelarian dan pendatang tanpa izin, dengan mendakwa rakyat sudah marah dengan masalah yang disifatkannya seolah-olah tiada penghujung.

Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Belanjawan 2027, Mohd Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mencadangkan operasi besar-besaran di seluruh negara bagi menangkap pendatang tanpa izin, termasuk menggerakkan anggota tentera untuk membantu Jabatan Imigresen memberkas dan menghantar mereka pulang ke negara asal.

"Saya cadangkan agar kerajaan melaksanakan operasi besar-besaran menangkap pendatang asing tanpa izin di seluruh negara dan menghantar mereka balik ke negara asal.

"Kita tahu mungkin ada yang kata Imigresen tidak mempunyai anggota yang mencukupi untuk melaksanakan operasi ini.

"Saya cadangkan untuk tujuan ini, seluruh jentera kerajaan perlu digerakkan melalui pendekatan keseluruhan kerajaan (whole-of-government approach), seperti yang pernah kita gunakan sewaktu pandemik Covid-19.

"Ini termasuk dengan menggerakkan ketumbukan anggota tentera boleh digunakan untuk membersihkan negara ini daripada pendatang asing tanpa izin," katanya.

Pemimpin Bersatu itu turut menggesa kerajaan mengosongkan semua depot tahanan imigresen di seluruh negara secepat mungkin dengan menghantar pulang semua tahanan ke negara asal masing-masing.

Katanya, langkah itu akan menghantar isyarat jelas kepada masyarakat antarabangsa dan sindiket pemerdagangan manusia bahawa Malaysia serius dalam menangani isu berkenaan.

Radzi mendakwa rakyat sudah sekian lama mengadu mengenai masalah yang dikaitkan dengan jumlah pelarian dan pendatang tanpa izin yang ramai, sehingga keadaan itu dilihat seolah-olah menjadi masalah yang tidak berkesudahan.

Dia turut berkata jumlah sebenar pendatang tanpa izin yang berada di negara ini tidak diketahui, sambil mendakwa keadaan itu diburukkan lagi oleh penjawat awam yang disifatkannya sebagai "pengkhianat" kerana membantu kegiatan penyeludupan warga asing.

Radzi memberi amaran bahawa negara akan hancur sekiranya kerajaan gagal menyekat kemasukan mereka dengan berkesan, termasuk melalui dasar yang lebih ketat berhubung penggajian pekerja asing.

Menyentuh isu pelarian pula, dia menggesa kerajaan mengambil pendirian lebih tegas terhadap Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), termasuk meminta badan itu menghentikan pendaftaran pelarian baru di Malaysia.

Katanya, adalah tidak adil bagi masyarakat antarabangsa membiarkan Malaysia menanggung beban menempatkan kira-kira 225,000 pelarian berdaftar, sedangkan hanya sebilangan kecil daripada mereka ditempatkan semula di negara ketiga.

"Ia seolah-olah meletakkan Malaysia dalam satu perangkap.

"Apakah kerajaan telah memberikan tekanan sewajarnya kepada UNHCR supaya mereka menghantar sebanyak mungkin pelarian yang telah didaftarkan oleh mereka ke negara ketiga?" soalnya.