Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno tak pernah bincang mengenai Jamal, baju merah - Annuar Musa

Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa menafikan perhimpunan yang berlangsung di pejabat Malaysiakini semalam ada kaitan dengan parti Melayu itu.

Sebaliknya, ujar beliau, perhimpunan yang diketuai oleh pemimpin gerakan baju merah yang juga Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos itu tidak pernah dibincangkan dalam Umno.

"Kenapa tanya saya, (perhimpunan itu) tidak ada kena mengena dengan saya.

“(Perhimpunan) itu tak ada kena mengena dengan Umno. Kita tidak pernah bincang, (yang buat tu) itu bukan Umno, itu Jamal,” katanya kepada pemberita sebelum majlis Himpunan Penerangan Umno Selangor 2016 di Bangunan Umno Shah Alam sebentar tadi.

Annuar berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Jamal bersama ratusan penyokong baju merah bagi membantah penerimaan dana dari pertubuhan Open Society Foundations (OSF) yang dimiliki hartawan terkemuka Amerika Syarikat George Soros kepada Malaysiakini.

Semalam, kira-kira 700 orang berhimpun di luar Malaysiakini kira-kira jam 2 petang bagi membuat bantahan terhadap portal berita itu.

Perhimpunan hari ini turut dihadiri segelintir kaum bukan Melayu.

Jamal, dalam pertemuan dengan pengarang Malaysiakini pada Khamis lalu mengancam untuk membawa 20,000 orang dan meruntuhkan sebahagian daripada bangunan itu jika portal berita itu tidak menjelaskan pembiayaan yang diterima daripada OSF.

Menurut Jamal, Soros bertanggungjawab terhadap krisis kewangan Asia pada tahun 1997 dan membiayai revolusi di banyak negara di seluruh dunia.

Pada mulanya, baju merah sepatutnya berkumpul di Dataran Merdeka tetapi selepas dihalang, mereka sebaliknya memilih untuk berhimpun di pejabat Malaysiakini.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata kumpulan baju merah itu adalah sebuah NGO dan tidak melibatkan Umno.

“Kalau ini anjuran Umno Selangor saya boleh jawab tapi dia NGO, jadi tak ada kena mengena, dia NGO dia bukan Umno. (Mengenai) baju merah, tanyalah orang baju merah,” katanya.

Terdahulu, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta pihak polis mengambil tindakan sewajarnya ke atas kumpulan baju merah.

Lihat Komen
ADS