Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cubaan Najib batal saman Mahathir ditangguhkan ke 20 Feb

Perbicaraan kes Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu membatalkan saman kemungkiran kewajipan fidusiari dan salah laku tort misfeasance dalam jawatan awam yang difailkan oleh Tun Dr Mahathir Mohammad telah ditangguhkan hingga 20 Februari tahun depan.

Permohonan itu pada asalnya dijadualkan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, peguam Mahathir, Mohd Haniff Khatri Abdulla berkata mahkamah bersetuju untuk menangguhkannya untuk membenarkan plaintif menyediakan hujah-hujah tambahan bagi kes mereka.

"Mahkamah bersedia untuk mendengar permohonan ini (bagi membatalkan saman).

“Walau bagaimanapun disebabkan oleh keadaan yang tidak dapat dielakkan dan atas permintaan kami - kerana terdapat isu-isu dalam afidavit jawapan yang kami percaya adalah isu-isu undang-undang tambahan - kami telah membuat permohonan (penangguhan) bertulis pagi ini selepas menerimanya Jumaat lepas," katanya .

Haniff berkata demikian kepada pemberita di luar mahkamah petang ini, selepas berjumpa i hakim yang bakal membicarakan kes berkenaan, Abu Bakar Jais di kamarnya.

Selain Mahathir, plaintif lain bagi kes itu ialah ketua sayap wanita, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Anina Saadudin dan bekas pemimpin Umno, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Plaintif dalam samannya pada 23 Mac lalu, memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.

Najib pada 20 April lalu, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman tersebut.

 

Lihat Komen
ADS