Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siasat 3 bekas menteri: IGP buta perundangan, soal Mahfuz

ULASAN l Saya merujuk kepada kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar sewaktu diwawancara wakil media pada 4 November 2016 di mana beliau menyatakan siasatan ke atas tiga orang bekas menteri berkaitan dengan ucapan mereka yang menyentuh berkaitan skandal 1MDB di Dewan Rakyat.

Siasatan yang dibuat itu, katanya adalah di bawah Akta Hasutan, selain dari Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Menurut beliau, siasatan kes 1MDB masih sedang berjalan.

Saya tidaklah ambil pusing sangat sebelum ini kerana yang membuat bising menuntut supaya tindakan undang-undang diambil ke atas tiga bekas menteri tersebut adalah dari kalangan pemimpin-pemimpin Umno atau NGO-NGO ‘belaan’ Umno.

Namun begitu apabila IGP sendiri mengeluarkan kenyataan yang jelas bertentangan dengan perlembagaan, ia menggambarkan betapa jahil dan ceteknya pengetahuan orang nombor satu PDRM berkaitan asas undang-undang dan perlembagaan.

IGP harus faham bahawa secara umumnya hak mana-mana ahli parlimen untuk bercakap berkaitan apa sahaja perkara sewaktu berbahas di Parlimen adalah dilindungi oleh hak keistimewaan (parliamentary privileges) dan kekebalan dari sebarang tindakan undang-undang sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Perkara 63(2) Perlembagaan Persekutuan.

Oleh sebab itu, jika benar sekalipun terdapat pelanggaran terhadap Akta Rahsia Rasmi (OSA), ia tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan jenayah dan tidak boleh didakwa oleh kerana ucapan yang dibuat di dalam Parlimen adalah dilindungi dan kebal dari sebarang tindakan mahkamah.

MP ada kekebalan

Bagaimanapun, Perlembagaan Persekutuan turut memberi pengecualiaan terhadap hak keistimewaan dan kekebalan tersebut.

Perkara 63 (4) memperuntukkan mana-mana ahli Parlimen tidak akan dilindungi atau tidak kebal dari tindakan undang-undang sekiranya Ahli Parlimen tersebut mengeluarkan ucapan atau berbahas yang menyentuh isu-isu sensitif melibatkan agama, kaum dan keistimewaan bumiputera yang boleh didakwa di bawah Akta Hasutan atau di bawah mana-mana undang lain yang dibuat di berdasarkan Perkara 10 (4) Perlembagaan Persekutuan.

Tidak nafikan di dalam sejarah negara kita, memang pernah berlaku Ahli Parlimen didakwa dan disabitkan di bawah Akta Hasutan oleh kerana ucapan yang dibuat di dalam Parlimen sebagaimana kes yang melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, mendiang Datuk Mark Koding pada tahun 1970-an.

Namun di dalam situasi yang kita hadapi sekarang ini, jika kita memperhalusi peruntukan Akta Hasutan, kita akan mendapati tindakan membahas atau membangkitkan isu governans, kewangan dan jenayah seperti skandal 1MDB tidak langsung termasuk di dalam definisi ‘kecenderungan menghasut’ sebagaimana yang dinyatakan di dalam Seksyen 3(1) akta tersebut.

Bahkan jika disemak di dalam hansard Parlimen, perbahasan berkaitan skandal 1MDB selama ini, sama ada oleh tiga bekas menteri berkenaan atau mana-mana ahli parlimen sekalipun, jauh sekali untuk dianggap sebagai menyentuh atau mempersoalkan apa-apa perkara, kedudukan atau keistimewaan yang ditetapkan oleh Perlembagaan berkaitan dengan kedudukan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu, kedudukan istimewa Bumiputera atau hak kerakyatan sebagaimana yang dikategorikan di dalam Akta Hasutan sebagai berunsur hasutan.

Mana IGP belajar

Saya tidak faham dari mana nasihat atau tunjuk ajar soal asas undang-undang yang IGP dapat, apabila secara semberono beliau mengatakan perbahasan tiga bekas menteri di dalam Parlimen yang menyentuh kes 1MDB boleh ditafsirkan sebagai suatu kesalahan yang disiasat di bawah Akta Hasutan.

Menyalahgunakan kuasa polis sehingga ke institusi Parlimen yang sepatutnya selamat daripada sebarang penindasan menunjukkan ruang demokrasi sempit di negara ini.

Tindakan tiga bekas menteri membangkitkan isu 1MDB di Dewan Rakyat tidak melanggar sumpah kerahsiaan kerajaan dan Akta Hasutan kerana mereka sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

Sumpah kerahsiaan tidak boleh digunakan untuk menyembunyikan salah laku kerana ia bukannya undang-undang jenayah, sebaliknya hanya peraturan atau etika dalam kerajaan.Begitu juga Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan tidak terpakai atas apa yang diungkapkan oleh tiga orang bekas menteri tersebut kerana ia tidak termasuk dalam definasi rahsia rasmi dan kecenderungan menghasut.

'Belaan Umno?'

Jika benar sekali pun kandungan ucapan-ucapan tersebut mengganggu proses siasatan atau ada di antara fakta tidak benar yang dikemukakan, ia tidak berkaitan langsung dengan Akta Hasutan atau Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Adakah IGP dah jadi 'belaan' Umno?

Jika benar ucapan dan perbahasan oleh ahli-ahli parlimen berkaitan 1MDB mengganggu siasatan, apakah ada siasatan yang dijalankan oleh PDRM tentang 1MDB?

Sudah berapa lama siasatan berkaitan 1MDB yang dijalankan oleh PDRM?

Apa statusnya?

Oleh sebab itu, saya menganggap tindakan PDRM untuk menyiasat tiga bekas menteri di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Hasutan oleh sebab ucapan yang mereka sampaikan di dalam sesi Parlimen adalah suatu tindakan yang melanggar Perlembagaan Persekutuan sama sekali dan menghina institusi Parlimen.

Sebagai ahli parlimen dan warganegara Malaysia, saya mendesak supaya IGP memberhentikan serta-merta penyiasatan yang melanggar undang-undang ini.

Saya juga menyeru rakan-rakan ahli parlimen yang lain samada Ahli Dewan Rakyat atau Dewan Negara supaya bangkit mempertahankan hak dan keistimewaan ahli parlimen yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

‘Tidak Perlu Takutkan Individu Yang Bangkit Isu Skandal 1MDB’.


DATUK MAHFUZ OMAR adalah Ahli Parlimen Pokok Sena

Lihat Komen
ADS