Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pasca-BERSIH5: Tian, Zuraida pula ditahan
Diterbitkan:  Nov 19, 2016 11:12 PM
Dikemaskini: 3:51 PM

Dua pemimpin kanan PKR menjadi individu terbaru ditahan pihak berkuasa berhubung demonstrasi BERSIH5 hari ini.

"Saya ditahan di bawah Seksyen 147/511 (Kanun Keseksaan). Sekarang dalam perjalanan ke (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur) di Jln Hang Tuah," kata Naib Presiden PKR Tian Chua melalui Twitter.

Peguam R Sivarasa menyatakan Tian ditangkap di rumahnya di Bandar Utama oleh sepasukan polis dari IPK Kuala Lumpur.

"Tuduhan (yang dihadapkan kepadanya) di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (iaitu) berkaitan dengan penglibatan dalam rusuhan.

"Esok polis akan memohon perintah reman," katanya.

Melalui Twitter pula Tian yang juga anggota parlimen Batu sebelum itu memberitahu ada sekumpulan polis di luar rumahnya.

"Nampak macam saya akan ditahan malam ini," katanya.

Kira-kira jam 11.15 Tian menyatakan: "I have to handover my hand phone etc now. Bye everyone. Keep the fight" (Saya terpaksa menyerahkan telefon bimbit dan lain-lain sekarang. Selamat tinggal semua. Teruskan perjuangan).

 

 

Sementara itu kira-kira jam 11 malam tadi sekumpulan anggota polis berkunjung ke rumah Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.

"Belum tentu beliau akan ditahan atau tidak," kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.

Bagaimanapun kira-kira 10 minit kemudian Fahmi mengesahkan Zuraida yang juga anggota parlimen Ampang ditahan dan sedang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

"Difahamkan ada lima hingga enam pemimpin serta aktivis PKR akan ditahan malam ini," katanya.

Siang tadi Bernama melaporkan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan lebih ramai individu yang menyertai BERSIH5 dan kumpulan Baju Merah akan ditahan sebelum didakwa di mahkamah.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata senarai individu yang terlibat dalam perhimpunan haram itu telah dikenal pasti namun pihak polis tidak akan mendedahkannya.

Jelasnya tidak timbul isu ketidakadilan kuasa daripada polis kerana pihak berkuasa telah mengambil tindakan terhadap kedua-dua pemimpin utama kumpulan berkenaan.

"Kita berharap dengan penangkapan pemimpin berkenaan ia merupakan satu isyarat dari pihak polis dan bahawa undang-undang dan akta sedia ada perlu dihormati meskipun perhimpunan itu diteruskan.

"Tidak timbul isu ketidakadilan kuasa kerana bukan satu pihak saja yang ditahan, dan akan ramai lagi ditangkap," katanya.

Terdahulu aktivis Fahmi Reza ditahan polis sejurus selepas perhimpunan BERSIH5 tamat di Kuala Lumpur kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Tian dan Zuraida adalah individu ke-14 dan 15 ditahan. Senarai tahanan polis sebelum ini ialah:

  • Maria Chin Abdullah
  • Ronnie Liu Tian Khiew
  • Mandeep Singh Karpall Singh
  • Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali
  • Arutchelvan Subramaniam
  • Wong Chee Wai @ Jimmy Wong
  • Lee Khai Meng
  • Anis Syafiqah Md Yusof
  • Hairol Nizam Md Nor
  • Razali Zakaria
  • Muhamad Safwan Anang @ Talib
  • Fahmi Reza
  • Hishamuddin Rais
Lihat Komen
ADS