Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak betul, keterlaluan guna Sosma ke atas Maria Chin - PAS
Diterbitkan:  Nov 20, 2016 2:22 PM
Dikemaskini: 6:26 AM

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penahanan Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah tidak betul dan keterlaluan.

"Kerajaan pernah memberi jaminan bahawa tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Sosma dan undang-undang lain tidak akan disalah gunakan oleh kerajaan bagi tujuan politik dan yang tidak ada kena-mengena dengan keselamatan dalam negeri.

"PAS konsisten menentang sebarang bentuk kezaliman dan salah guna kuasa terhadap sesiapa pun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua hari yang lalu, Polis dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyerbu pejabat BERSIH di Petaling Jaya.

Selepas tidak dibenarkan keluar dari pejabat itu atau berhubungan selama hampir dua jam, anggota polis kemudiannya keluar dengan membawa Maria Chin dan pegawai sekretariat gabungan itu, Mandeep Singh Karpal.

Kedua-dua mereka dilaporkan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya selain turut merampas sepuluh komputer riba dan kenyataan bank serta gaji BERSIH.

Justeru, PAS menggesa pihak berkuasa berlaku adil kepada Maria Chin dan membebaskan beliau segera daripada penahanan di bawah Sosma, kata Tuan Ibrahim lagi.

"Kerajaan tidak harus mengulangi kesilapan ketika menggunakan Sosma terhadap Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathhias Chang kerana melaporkan isu 1MDB," jelas beliau lagi.

Lihat Komen
ADS