Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengesahkan penganjuran Seminar Perpaduan dan Penerangan Rang Undang-undang Akta 355 (RUU355) di Johor Bahru yang disebarkan menerusi aplikasi WhatsApp, baru-baru ini.

"Ya, Yadim ada menganjurkan seminar perpaduan dan penerangan rang undang-undang Akta 355 pada 9 November lepas di Johor Bahru," kata sumber Yadim kepada Malaysiakini.

Berdasarkan maklumat yang diperolehi, Yadim kini dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat mengenai RUU 355 dengan pertubuhan bukan kerajaan Islam di zon selatan telah melaksanakan satu program pada 9 November lalu bertempat di Dewan MPC, Bandar Baru Uda.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor selaku penganjur bersama.

Dalam program berkenaan para hadirin telah diberikan penjelasan mengenai RUU355 oleh para ahli panel yang terdiri daripada Penasihat Agama Islam Johor yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yadim, Datuk Nooh Gadot, Ketua Hakim Syarie Negeri Johor, Datuk Amir Danuri, Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya dan Pengerusi Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang.

Berdasarkan matlumat menerusi aplikasi WhatsApp itu juga, berikut adalah intipati perbincangan seminar RUU 355 itu.

1. RUU A355 melibatkan zina, khazaz, minuman arak dan murtad sahaja.

2. Hukuman sangat terhad iaitu 6 kali sebatan, denda RM5000 dan 3 tahun penjara di mana ia perlu ditambahkan.

3. Tidak melibatkan orang bukan Islam.

4. (RUU355) perlu dibentangkan untuk sebutan kedua selepas pembentangan belanjawan selewat-lewatnya 24 November untuk dibincangkan.

5. Tak perlu dapat majoriti dua pertiga dengan majoriti mudah sahaja. Sebagai contoh, jika semasa undian ada 10 orang anggota Parlimen, enam daripadanya bersetuju dah lulus.

6. Perlu diterima oleh semua anggota parlimen Islam tak kira parti politik sebab semua telah bersumpah.

7. Sepatutnya anggota parlimen bukan Islam tak masuk campur dan tak perlu undi sebab ia melibatkan agama Islam.

8. Minta orang Islam sembahyang hajat dan berdoa supaya RUU 355 di luluskan di parlimen.

9. Guna WhatsApp, blog, twitter, Facebook untuk nyatakan tentang RUU355.

10. Lebih 500 NGO yang sokong usul ini dan mereka akan kenal pasti mana-mana anggota parlimen yang tak sokong RUU355 supaya tidak mendapat sokongan semasa PRU14 nanti.

Malah, pada seminar itu juga mereka turut membincangkan perbandingan denda yang terhad dengan Akta Pemeliharaan Hidupan Liar 2010.

Sebagai contoh, bila seseorang di tangkap membela burung murai mereka akan didenda RM50,000 manakala Akta Kastam Seksyen 135 kerana menyeludup rokok didenda RM9,400 dan penjara tidak lebih tiga tahun.

Lihat Komen
ADS