Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno jadikan Islam mercu tanda, PAS terjemah agenda demi ummah
Diterbitkan:  Nov 27, 2016 2:13 PM
Dikemaskini: 8:10 AM

Hubungan antara PAS dan Umno bukanlah tahaluf siyasi (kerjasama politik) sebaliknya ia ialah tabayyun siyasi iaitu berhati-hati dan teliti dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno telah melalukan pelbagai usaha untuk meletakkan Islam sebagai mercu tanda, manakala agenda pula PAS adalah untuk menterjemahkan semua agenda Islam untuk kepentingan ummah.

“Kita harus membezakan antara tahaluf siyasi atau political collaboration dengan tabayyun, pemahaman yang dibuat PAS.

“Agenda PAS adalah untuk menterjemahkan semua agenda Islam demi kepentingan ummah. Mereka (PAS) melihat Umno telah banyak menjalankan usaha-usaha meletakkan Islam sebagai satu mercu tanda utama negara,” katanya dilaporkan akhbar Mingguan Malaysia.

Zahid berkata demikian dalam wawancara eksklusif menjelang Perhimpunan Agung Umno (PAU) minggu depan.

Sebelum itu Zahid ditanya mengenai PAS yang kurang menyerang Umno sebaliknya lebih banyak berkompromi dalam beberapa isu melibatkan kerajaan seolah-olah terdapat gerakan politik antara parti Islam itu dengan Umno.

Zahid turut membawa contoh rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU355) yang dibawa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak dibahaskan dan diadakan undi kerana mahu ia lebih close ended.

“Saya sendiri mengambil inisiatif sebagai ketua Whip BN di parlimen untuk mengundang semua ahli parlimen Islam sama ada dari Umno, PAS, AMANAH (Parti Amanah Negara) dan PKR untuk duduk membincangkan perkara itu.

“(Ia) bagi membentangkan apa sebenarnya RUU 355 yang dibentangkan oleh Abdul Hadi,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Jelasnya sebelum ini terdapat ahli parlimen yang menolaknya kerana tidak memahami apa sebenarnya undang-undang itu.

“Biar Umno dan BN menjadikan pindaan RUU itu sebagai urusan kerajaan dan kita akan kemukakan sebagai undang-undang kerajaan kerana PAS telah memahaminya dan parti-parti lain memahaminya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Zahid ketika ditanya adakah sikap mesra antara Umno dan PAS ini akan menjejaskan sokongan kaum bukan Melayu kepada BN berkata: “soalnya adalah komunikasi, penjelasan dan meletakkan usaha supaya mereka memahami perkara itu.

“(Perdana Menteri kedua) Allahyarham Tun Abdul Razak Hussien pernah melakukan (kerjasama BN dengan PAS). Allahyarham Tun Dr Ismail Abdul Rahman adalah Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno ketika itu dan beliau membantu Tun Abdul Razak melakukannya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS