Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rafizi tulis surat desak MP, pegawai k'jaan umum aset

Rafizi Ramli akan menulis surat kepada semua anggota parlimen (MP) dan pegawai kanan kerajaan dalam usaha memberi tekanan kepada mereka supaya membuat pengisytiharan harta masing-masing.

Tindakan itu katanya akan dibuat selepas beliau sendiri membuat pengisytiharan harta esok.

Kali terakhir Rafizi membuat pengisytiharan itu ialah pada Mac lalu.

"Saya akan isytihar harta saya, juga harta isteri dan anak walaupun aset anak lelaki saya hanyalah patung mainan," katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.

Menurut Rafizi untuk MP dan pegawai kanan kerajaan yang lain, dia akan menghantar surat dan borang untuk butiran aset serta hutang masing-masing.

Katanya mereka hanya perlu memberi jawapan sama ada bersetuju mengisytiharkan harta mereka atau sebaliknya.

"Menjelang pertengahan Disember atau hujung tahun, kita akan dapat tahu (jawapan mereka)," katanya.

Terdahulu Rafizi mengumumkan dapatan kaji selidik yang dijalankannya pada awal Oktober di akaun Facebook bagi mendapatkan pandangan orang ramai mengenai isu pengisytiharan harta.

Daripada 727 responden, 60 peratus mendakwa mereka adalah penyokong kerajaan manakala selebihnya pengundi atas pagar atau memihak kepada BN.

Berdasarkan kaji selidik itu kata Rafizi, pengundi jelas mahukan ahli politik dan pegawai kanan kerajaan mengiystiharkan harta masing-masing.

Orang miskin lebih senang

Malah, satu daripada soalan yang dikemukakan pada kaji selidik itu ialah sama ada seseorang wajar dibenarkan bertanding dalam pilihan raya jika mereka tidak mengumumkan aset.

Kata Rafizi, 99 peratus responden bersetuju dengan saranan itu.

Rafizi yang baru-baru ini melepaskan jawatannya sebagai setiausaha agung PKR berkata, surat dan borang berkenaan akan dihantar kepada semua 222 MP serta kira-kira 50 pegawai kanan kerajaan.

Bagi ADUN pula, kata Rafizi, mereka dialu-alukan untuk membuat pengisytiharan sama.

Walaupun percaya tidak ramai yang akan memberi jawapan balas, Rafizi berkata, satu lagi sidang media akan diadakan pada awal Januari tahun depan.

"Saya akan tulis dan kami nak tengok respon daripada mereka (tetapi) rasanya besar kemungkinan ramai yang tidak akan respon.

"Selepas itu terserah kepada pengundi untuk memberi tekanan kepada mereka," katanya.

Sementara itu Fuziah berkata beliau akan mengisytiharkan hartanya tidak lama lagi.

"Insya-Allah saya akan isytihar. Saya tak ada savings (simpanan), tak ada harta," katanya.

Kenyataan itu disambut Rafizi secara spontan dan berjenaka: "Orang yang miskin memang senang nak isytihar."

Kata Rafizi menjelang pilihan raya umum akan datang, penting untuk ahli politik memulakan budaya mengisytihar harta kepada awam.

Ditanya sama ada beliau bersedia mencadangkan amalan itu kepada parti supaya semua anggota PKR melakukannya, Rafizi berkata, ia boleh dilakukan sama ada melalui saluran biasa, semasa kongres atau mesyuarat agung tahunan.

"Kami akan cadangkan dan kita lihat apa pandangan (parti). Bagaimanapun secara individu ia boleh dilakukan secara sukarela tanpa tunggu arahan parti," katanya.

Naib presiden PKR itu memang terkenal dengan desakan untuk semua ahli politik mengisytiharkan aset mereka sebagai satu daripada langkah membanteras amalan rasuah.

Beliau baru-baru ini menggesa Ketua Pemuda PKR Ampang Datuk Adam Rosly supaya mengisytiharkan harta selepas pemilikan rumah di Ampang dipertikaikan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS