Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli hari ini meletak jawatan sebagai setiausaha agung parti itu.

Pengumuman dibuat oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada satu sidang media di ibu pejabat parti itu.

Wan Azizah berkata beliau menerima surat yang memaklumkan hasrat Rafizi untuk meletakkan jawatan hari ini.

"Saya ada pengumuman sedih untuk dibuat kerana saya anggap keluarga PKR sebagai sebuah keluarga besar. Saya anggap mereka di bawah saya sebagai anak-anak saya sendiri.

"Saya ingin mengumumkan pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai setiausaha agung PKR dan perletakan jawatan Rafizi," katanya pada sidang akhbar yang dihadiri oleh kedua-dua Rafizi dan Saifuddin.

Menurutnya, Rafizi telah memaklumkan sejak setahun lalu hasratnya untuk melepaskan jawatan setiausaha agung sekiranya beliau didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Mahkamah Sesyen pada 14 November lalu menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan atas tuduhan memiliki dokumen sulit iaitu halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan siasatan 1MDB.

“Oleh kerana persediaan berhadapan dengan kesan perlucutan kelayakan Rafizi telah dibuat jauh lebih awal, saya telah berbincang dengan Ketua Umum terlebih dahulu sebelum ini.

“Dengan pandangan yang diberikan dan mengambil kira pengalaman beliau di dalam PKR sejak penubuhan parti ini, saya memutuskan untuk melantik Saifuddin Nasution berkuatkuasa 26 November 2016,” katanya.

Rafizi memegang jawatan setiausaha agung PKR sejak tahun 2014 selepas menggantikan Saifuddin Nasution yang menggalas tanggungjawab itu di antara tahun 2010 hingga 2014.

Beliau adalah pemimpin kanan yang terbabit sejak penubuhan Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata beliau yakin Saifuddin Nasution akan memainkan peranan utama mengukuhkan peranan PKR di dalam Pakatan Harapan ke arah membentuk persefahaman pilihanraya dengan semua parti pembangkang untuk memastikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU14.

Wan Azizah juga mengumumkan Rafizi akan terus menjalankan tugas beliau sebagai naib presiden PKR dan terus membongkarkan penyelewengan BN.

Lihat Komen
ADS