Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KJ tuju kembali sajak 'Melayu Mudah Lupa' pada Dr M

Sajak “Melayu Mudah Lupa” yang pernah diungkapkan oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bergema kembali dalam Persidangan Agung Umno (PAU) di PWTC.

Bagaimanapun, bait-bait puitis itu diubah suai oleh Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin untuk menyerang kembali bekas perdana menteri keempat itu.

Menurut Khairy, tindakan Dr Mahathir ketika ini berbeza 180 darjah dengan tindakannya sewaktu memegang tampuk pemerintahan negara.

"Beliau pun sendiri pernah berkata, Melayu mudah lupa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, BERSIH dipertikai. Sekarang, merayu rakyat sertai BERSIH. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Soros dikritik, Sekarang, sertai demo yang dibiayai Soros.

"Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu lempar Anwar pelbagai tuduhan. Sekarang bersalaman bertukar senyuman, entah jujur atau tidak. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu, bila ditanya pasal reformasi. Sekarang mengejar tepukan di pentas lawan.

"Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu Mat Sabu dicaci dihina. Sekarang teman bergelak ketawa. Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu konon pejuang bangsa. Sekarang seganding musuh bangsa.

"Melayu mudah lupa, Melayu mudah lupa. Dulu pertikai kewujudan Keadilan. Sekarang, mesra dengan kepimpinannya, siap sahut Bebas Anwar. Melayu mudah lupa, Melayu Mudah lupa. Dulu, musuh dipersoal. Kini semeja, mengejar kuasa," katanya.

Khairy mempersembahkan puisi itu dalam ucapan dasarnya sebentar tadi.

"Melayu dalam dewan ini ingat sumbangan Tun. Juga ingat solidariti parti mempertahankan Tun. Tetapi Melayu di dalam dewan ini juga ingat hipokrasi Tun.

"Juga ingat diktatorship Tun. Juga ingat kepincangan Tun. Juga ingat penyelewengan di zaman Tun. Juga ingat semua pemimpin yang dihina oleh Tun.

"Dan yang akan kami paling ingat, Melayu dalam dewan ini akan sentiasa beringat, adalah pengkhianatan Tun kepada perjuangan parti ini.

"Keghairahan Tun tubuh parti untuk melawan kami, Kesanggupan Tun menghina parti keramat ini. Kerakusan Tun membunuh parti Umno ini," katanya.

Khairy bagaimanapun mengingatkan saf pemuda supaya tidak memandang rendah parti serpihan Umno iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

"Suka atau tidak, jangan kita pandang enteng bahawa sasaran Parti Pribumi (BERSATU) adalah pengundi tegar kita dan kubu-kubu kita.

"Parti Pribumi tidak akan bertanding di kawasan seperti Lembah Pantai, Kuantan atau Seremban. Sebaliknya mereka akan menyerang simpanan tetap Umno, kawasan seperti Muar, Langkawi, mungkin Rembau," katanya.

Lihat Komen
ADS