Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP: Najib bercuti tanpa hirau sensitiviti rakyat
Diterbitkan:  Jan 5, 2017 11:58 AM
Dikemaskini: 4:21 AM

Percutian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekeluarga di Australia menunjukkan mereka terpisah daripada realiti sebenar kehidupan rakyat Malaysia, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.

Katanya, ketika rakyat biasa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan banjir yang melanda, Najib dan keluarganya pula bercuti dengan menggunakan jet kerajaan.

"Sementara rakyat muram dan berjimat cermat dengan naiknya harga petrol di ambang tahun baru, perdana menteri diberitakan terbang dengan keluarga bercuti menaiki jet mewah kerajaan menjelajah Australia.

"Tanpa menghayati sensitiviti rakyat, gambar-gambar bermain golf dan beriadah mewah sekeluarga disebarkan di Facebook oleh ahli keluarganya," kata Raja Kamarul dalam kenyataan media.

Pada masa sama Raja Kamarul berkata beliau mendengar aduan daripada penguatkuasa yang tidak dibayar kerja lebih masa selama tiga bulan sehingga menyukarkan persiapan persekolahan anak-anak mereka.

Katanya, ketua kampung yang ditemui di sebuah pusat pemindahan banjir juga menyuarakan rasa tidak senang dengan perbelanjaan kerajaan menyambut tahun baru terutama pertunjukan bunga api yang mahal.

"Ketua kampung mengeluh sambil mengadu sikap kerajaan bermewah-mewah bermain bunga api, berdentum sama kuat dengan guruh hujan monsoon sambil rakyat menghadapi banjir," katanya.

Najib dan keluarga dilapor bercuti di Australia bulan lalu dengan menggunakan pesawat kerajaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed berkata Najib berhak berbuat demikian kerana terdapat isu lain yang perlu dipertimbangkan termasuk isu keselamatan.

Bagaimanapun, Raja Kamarul berkata Presiden Indonesia Jokowi dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong lazimnya tidak menggunakan pesawat kerajaan walaupun pada masa ekonomi baik.

"Kalau bercakap tentang hak, rakyat pun berhak mengharapkan sedikit keprihatinan dan peduli dari perdana menteri mereka dalam masa susah dan bencana alam," tambah beliau.

 

Lihat Komen
ADS