Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Najib hanya luang masa berkualiti dengan anak'
Diterbitkan:  Jan 8, 2017 9:26 AM
Dikemaskini: 1:33 AM

Di sebalik tohmahan mengenai percutian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersama keluarga ke Australia baru-baru ini, pegawai khas isteri perdana menteri, Datuk Rizal Mansor melihatnya dari sisi yang berbeza.

"Saya memandang dari sisi yang berbeza. Ayah dan anak beriadah dengan mengayuh basikal dan seperti mana orang lain, mereka mahu lakukan aktiviti bersama.

"Tidak seperti orang lain, ayah mempunyai banyak masa diluangkan bersama keluarga. Si ayah bekerja 7 hari seminggu, keluar rumah pagi hari dan pulang lewat malam.

"Dalam setahun mungkin 10 hari sahaja si ayah benar-benar dimiliki oleh keluarga. 355 hari lagi mereka terpaksa berkongsi ayahnya dengan rakyat," kata Rizal dalam catatan di Facebooknya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Terengganu Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, percutian Najib sekeluarga di Australia menunjukkan mereka terpisah daripada realiti sebenar kehidupan rakyat.

Katanya, ketika rakyat biasa bergelut dengan kenaikan kos sara hidup dan banjir yang melanda, Najib dan keluarganya pula bercuti dengan menggunakan jet kerajaan.

"Sementara rakyat muram dan berjimat cermat dengan naiknya harga petrol di ambang tahun baru, perdana menteri diberitakan terbang dengan keluarga bercuti menaiki jet mewah kerajaan menjelajah Australia.

"Tanpa menghayati sensitiviti rakyat, gambar-gambar bermain golf dan beriadah mewah sekeluarga disebarkan di Facebook oleh ahli keluarganya," kata Raja Kamarul.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, justeru, beliau berharap pihak yang mengkritik hal berkenaan dapat merenungkan hubungan ayah dengan anak-anaknya.

"Renungkanlah. Ada orang untung dapat ayah berada. Ada orang untung dapat ayah punya banyak masa dan ada orang bertuah masih ada ayah," tambah Rizal sambil menyedekah surah Al-Fatihah buat arwah ayah beliau.

Lihat Komen
ADS