Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
45,947 pusat judi haram di Negeri Sembilan diserbu tahun lepas

Sebanyak 45,947 pusat judi haram di Negeri Sembilan diserbu dengan 123 premis dikenakan tindakan dipotong bekalan elektrik dan air,
sepanjang tahun lepas.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata daripada jumlah itu, hanya 373 serbuan berjaya didakwa, berikutan modus operandi operator judi yang berubah dengan menjalankan kegiatan judi dalam talian.

"Kadang-kadang serbuan tak dapat kita dakwa sebab modemnya tiada di lokasi, ia ada di luar negara dan dengan berbekalkan tablet, melalui aplikasi dalam talian, permainan judi dijalankan.

"Bila serbuan dijalankan, aplikasi judi dipadamkan dan ini yang menyebabkan serbuan banyak dibuat tapi kejayaan mendakwa kurang bagaimanapun peralatannya tetap kita rampas," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat exco di Seremban hari ini.

Mohamad berkata sebanyak 2,222 komputer dirampas dengan seramai 552 penjaga premis dan 650 pemain ditahan.

Sebanyak 296 kes kesalahan judi siber di seluruh negeri telah dituduh di
mahkamah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Negeri Sembilan 1998.

Selain itu, beliau juga berharap undang-undang berkaitan judi dalam negara dapat diperketatkan bagi membanteras aktiviti judi haram dan dalam talian dengan lebih berkesan.

"Perundangan seperti ini perlu disegerakan kerana ia menjejaskan masyarakat kalau tak dibuat segera," katanya.

Selain itu, Mohamad berkata melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan, semua agensi berkaitan akan dikumpulkan dalam satu jawatankuasa bagi mewujudkan keseragaman penguatkuasaan di setiap daerah.

"Pusat judi tidak akan hidup lama kalau tiada orang yang pergi berjudi.
Semua pihak kena main peranan supaya masyarakat hidup harmoni," katanya. -Bernama

Lihat Komen
ADS