Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rasuah: Agensi agama tak terlepas dari siasatan - Azam
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 5:52 AM
Dikemaskini: 10:12 PM

Agensi agama tidak akan terlepas daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika didapati terdapat unsur rasuah dan salah laku dalam organisasi berkenaan.

Bercakap kepada Bernama, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata kedudukan dan kuasa yang diberikan bukanlah alasan untuk pegawai jabatan agama terlibat dalam perbuatan rasuah.

"Sekiranya ada mana-mana pihak berfikiran mereka boleh terlepas daripada siasatan SPRM, tindakan yang diambil kebelakangan ini terbukti tidak ada satu agensi pun yang tidak disiasat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan empat pegawai agama Johor yang disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa di negeri itu, kelmarin.

Azam berkata SPRM memandang serius perkara itu kerana individu-individu berkenaan sangat dipercayai oleh masyarakat dan sepatutnya menjalankan tanggungjawab yang diberi dengan penuh integriti.

Ini bukan kali pertama pegawai jabatan agama ditahan SPRM malah beberapa pegawai dari jabatan agama di negeri-negeri lain juga pernah ditahan dan disiasat sebelum ini, katanya.

"Sebagai pegawai agama, mereka sepatutnya mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah rasuah," katanya.

Kelmarin, SPRM Johor menahan dua pegawai daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan dua pegawai Pendidikan Agama Daerah Johor Bahru yang bertugas di Pejabat Pendidikan Islam Daerah (PPID) kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa untuk kepentingan diri sendiri.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS