Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cerah di Kelantan, tak mustahil rampas Malaysia - Mohd Amar
Diterbitkan:  Mar 1, 2017 12:24 PM
Dikemaskini: 4:56 AM

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata berdasarkan kajian, peluang PAS untuk kekal di Kelantan bukan sahaja cerah, tetapi tidak mustahil jika parti itu menawan Putrajaya.

Sambil mengakui parti itu sedia bergerak sendirian dan bertanding di semua kerusi pada PRU14, katanya PAS juga bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk berdepan pertembungan lebih dua penjuru.

"Kita bersedia, kita akan lawan. Dua penjuru, tiga penjuru, malah lima penjuru pun kita tetap lawan. Kita bukan agah (sombong) tapi perjuangan dan matlamat kita jelas.

"Malah melalui kajian dibuat, peluang PAS cerah untuk menang bukan hanya di Kelantan, malah tidak mustahil kita akan rampas Malaysia.

“Yang penting, kita kena istiqamah dan yakin dengan kuasa Allah SWT," katanya yang dipetik oleh akhbar Sinar Harian ketika menyampaikan ceramah umum dan isu-isu semasa di Kampung Pangkal Jenereh, di Machang, malam, kelmarin.

Laporan berkenaan bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai kajian tersebut ataupun bila dan di mana ia dijalankan.

Pada ceramahnya itu, Mohd Amar, juga berkata PAS tidak pernah mempunyai sebarang kaitan dengan Umno dan BN, termasuk isu kerajaan perpaduan yang masih dikaitkan dengan parti itu.

Menurutnya, dakwaan parti tertentu mengenai kerajaan perpaduan tersebut adalah tuduhan yang tidak berasas bagi menjatuhkan PAS semata-mata.

"Tuduhan tersebut bertujuan memburukkan-burukkan PAS dan menarik sokongan kepada parti mereka, sedangkan kerajaan gabungan itu tidak pernah dibincangkan.

"PAS tetap terus menjadi alternatif dan pesaing utama kepada Umno BN pada PRU akan datang. Kita akan lawan," katanya yang dipetik akhbar berkenaan.

Angan-angan AMANAH

Sinar Harian juga dalam laporan lain memetik Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan sebagai berkata azam Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk menawan Kelantan menjelang PRU akan datang hanyalah angan-angan politik.

Katanya, bukan mudah bagi AMANAH yang disifatkan hanya 'setahun jagung' bertapak dalam arena politik untuk merampas Kelantan daripada PAS.

"Saya sifatkan ia hanya angan-angan politik AMANAH. AMANAH perlu tahu, untuk memenangi PRU, sesebuah parti itu perlu ada kekuatan asas terlebih dahulu.

"Kekuatan asas yang perlu ada termasuk cawangan, ahli dan pengundi, bukannya sekadar ada parti kemudian buat gempak pada satu atau dua program dan seterusnya buat kenyataan akan menang di Kelantan," katanya.

Menurut Nasrudin, bukan mudah bagi parti lain untuk menakluk dan menduduki Kelantan.

"Kami yang daripada parti-parti lama termasuk Umno pun tahu nak menang sesebuah negeri bukan mudah.

“Secara asasnya dari awal lagi PAS akan pertahankan Kelantan dari mana-mana pihak," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS