Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Keputusan Datuk Seri Najib Razak untuk tidak membentangkan sendiri cadangan pindaan kepada Akta 355 untuk menaikkan had hukuman Mahkamah Syariah adalah pukulan maut kepada sebarang usaha untuk menghidupkan usul itu.

Saya telah menulis dengan panjang lebar tahun lepas menerangkan Peraturan Dewan 49 yang secara jelas menyebut bahawa sebarang rang undang-undang (RUU) persendirian, jika pun dibenarkan dibaca, dibahas dan menang undian di Dewan Rakyat, tidak akan pergi ke peringkat yang lebih jauh.

Kecualilah kerajaan bersetuju untuk menerima cadangan RUU itu dan diambil alih untuk dibentangkan semula di Dewan Rakyat bagi bacaan kali kedua.

Ini bermakna, seperti yang saya tegaskan berkali-kali, kuasa sebenar untuk memperkasakan Mahkamah Syariah terletak di tangan Najib sebagai perdana menteri.

Di tangan Najib

Dalam keadaan RUU persendirian yang dibawa ahli Parlimen Marang itu dipulangkan kembali kepada beliau, kesemua keputusan bersabit kebenaran pembentangan dan diluluskan terletak di tangan Najib seperti berikut:

1. Keputusan untuk menukar aturan mesyuarat supaya semua akta kerajaan yang disenaraikan lebih awal digugurkan untuk memberi laluan kepada pembacaan RUU persendirian ahli Parlimen Marang terletak di tangan Najib kerana urusan kerajaan perlu disudahkan terlebih dahulu sebelum RUU persendirian boleh dibaca.

2. Keputusan untuk melangkah giliran untuk mendahulukan pembacaan RUU persendirian ahli Parlimen Marang mengatasi semua urusan kerajaan yang telah disenaraikan lebih awal (seperti yang pernah berlaku sebelum ini) juga keputusan Najib sebagai ketua kerajaan.

3. Jika pun (1) atau (2) dibenarkan untuk membolehkan RUU persendirian ahli Parlimen Marang dibaca, dibahas dan diundi, keputusan untuk mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu adalah keputusan Najib.

4. Jika pun (1) atau (2) dibenarkan dan Najib bersetuju mengarahkan ahli parlimen Barisan Nasional menyokong RUU persendirian itu (seperti (3), keputusan sama ada kerajaan akan mengambil alih cadangan pindaan itu untuk dibentangkan kembali bagi bacaan kedua adalah keputusan Najib.

Nasib pembentangan Akta 355

Akhirnya, jika pun Najib boleh bermain politik dengan membenarkan (1), (2) dan (3), saya yakin cadangan RUU persendirian ahli Parlimen Marang itu akan terhenti di peringkat bacaan pertama (setelah pengundian dibuat) kerana Najib tidak mungkin akan bersetuju mengambil alih cadangan pindaan tersebut untuk dibentangkan kembali sebagai rang undnag-undang kerajaan (seperti kehendak peraturan Dewan).

Saya begitu pasti kerana jika benar Najib ikhlas, sudah tentu beliau meneruskan janjinya yang dibuat di perhimpunan agung UMNO yang lalu bahawa pihak Umno (dan kerajaan Persekutuan) sendiri yang akan membentangkan perkara ini dan melalui proses Dewan Rakyat mengikut Peraturan Mesyuarat.

Kalau kerajaan Persekutuan menolak untuk membentangkannya pada bacaan pertama dan dipulangkan kepada ahli Parlimen Marang yang tertakluk kepada semua keputusan Najib bagi kelulusan di peringkat (1), (2) dan (3) di atas, kenapa pula di langkah (4), tiba-tiba Najib akan mengambil alih RUU persendirian itu.

RUU355 strategi politik Umno

RUU355 kekal permainan politik Umno untuk memastikan berlaku pertembungan tiga penjuru dalam pilihan raya umum ke-4.

Najib nampaknya yakin beliau bakal mencipta sejarah sebagai perdana menteri yang paling tidak popular tetapi kekal berkuasa melalui adu domba politik yang melaga-lagakan rakyat dengan bermain isu agama dan kaum.

Beliau lupa rakyat sedang menonton sandiwara ini dan jangan perkecilkan kecerdikan rakyat membaca yang tersirat di sebalik permainan politik ini.

Sama ada RUU355 dibenarkan dibentang atau tidak, saya telah buat pendirian kerana telah cukup maklumat dengan menilai keikhlasan Najib dalam hal ini. Bentanglah secepat mungkin supaya kita boleh kembali kepada isu-isu rakyat yang lebih tinggi keutamaannya untuk diselesaikan berbanding permainan politik Umno ini.


RAFIZI RAMLI merupakan naib presiden PKR merangkap anggota Parlimen Pandan. Tulisan di atas adalah pandangan peribadi beliau dan bukan semestinya membayangkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS