Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mufti Perak mahu kerajaan tangguh pindaan Akta 164
Diterbitkan:  Apr 3, 2017 4:12 PM
Dikemaskini: 8:15 AM

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria mahu kerajaan menangguhkan pembentangan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 atau Akta 164.

Ini kerana menurutnya, pindaan itu bukan sahaja bertentangan dengan perlembagaan dan hukum syarak tetapi bercanggah dengan fatwa yang diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-87 pada Jun tahun 2009.

"Oleh itu, pembentangan ini seolah-olah memperlekeh dan menghina fatwa, atau tidak menghormati fatwa yang sudah dibuat.

"Perkara ini cukup berat dan bertentangan dengan Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan penentangan hukum yang ditetapkan oleh syarak.

"Yang paling berat sekali ialah apabila kita melakukan sesuatu bertentangan dengan Perlembagaan, bermakna kita tidak mentadbir negara ikut Perlembagaan," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online di Ipoh, hari ini.

Harussani merujuk keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa yang memutuskan apabila salah seorang pasangan ibu atau bapa memeluk Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan itu secara automatik beragama Islam.

Justeru, katanya, pindaan akta itu yang menyebut apabila salah seorang pasangan memeluk Islam dan berlaku perceraian, penukaran status agama anak hanya boleh dilakukan selepas mencapai usia 18 tahun dan mendapat persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Baginya, ini jelas bertentangan dengan apa yang diputuskan dalam fatwa serta ditetapkan hukum syarak.

Sehubungan itu, beliau mendesak kerajaan supaya menarik balik pindaan akta itu buat masa ini dan kekalkan dengan peruntukan sedia ada supaya tidak timbul kekeliruan dan kemarahan umat Islam.

Beliau juga dipetik sebagai berkta, pindaan itu boleh mencetuskan masalah lebih berat pada masa akan datang.

Beliau berkata, peruntukan undang-undang sedia ada sebenarnya tidak mengundang masalah sekiranya kerajaan bertegas.

Harussani juga berharap ahli parlimen beragama Islam tidak menggadaikan agama demi kompromi politik, ibarat peribahasa 'harapkan pegar, pegar makan padi'.

Lihat Komen
ADS