Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, tangkapan semula bekas pelajar sarjana Universiti Malaya, Siti Noor Aishah Atam bukan bertujuan untuk menganiaya beliau.

Malah, Khalid menjelaskan, bapa Siti Noor Aishah sendiri pernah memberitahu bahawa beliau cuba untuk menghalang anaknya daripada terlibat dengan kegiatan pengganas IS.

"Ayah dia sendiri dah beritahu, mengaku bahawa dia cuba menghalang anak dia ni daripada terlibat dalam kegiatan IS. Jadi tak payah la saya nak ulang lagi.

"Kita bukan menganiaya orang. Tak ada orang yang kita aniaya. Kita ada cukup bukti untuk ambil tindakan. Bukan saja-saja," tegas Khalid pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Siti Noor Aishah telah ditangkap semula di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan kini ditahan di penjara Kajang.

Tangkapan dan penahanan itu berkuat kuasa pada 27 Mac lalu, selepas Siti Noor Aishah hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ia susulan rayuan yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan beliau pada September tahun lalu kerana memiliki 12 buah buku.

Siti Noor Aishah, 29, ditahan buat pertama kali pada Mac tahun lalu di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan dan Sosma kerana memiliki 12 buah buku yang didakwa berkaitan dengan kumpulan pengganas.

Pada bulan berikutnya, dia didakwa di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan tidak mengaku bersalah memiliki buku-buku berkenaan, selepas kes itu dibicarakan.

Siti Noor Aishah, seorang bekas pelajar sarjana Usuluddin berkata, beliau menggunakan buku-buku berkenaan untuk penyelidikan ijazah sarjananya.

Ekoran penahanan semula itu juga, Kementerian Dalam Negeri meminta semua pihak tidak memperbesarkan isu penahanan Siti Noor Aishah dan menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan.

Lihat Komen
ADS