Azmin: Adam baru disiasat

Alyaa Alhadjri        

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, meminta semua pihak tidak mengukum seseorang selagi ia belum dibuktikan bersalah.

Kata Azmin, pihak berkuasa perlu diberi peluang untuk menjalankan siasatan sebaik-baiknya bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.

Ditanya mengenai penahanan Ketua Pemuda PKR Ampang, Datuk Adam Rosly oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azmin berkata, ia adalah proses biasa.

"Siasatan sedang dijalankan, (itu) proses biasa," katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Tanpa Kenderaan dan Hari Bumi di Shah Alam pagi ini.

Adam ditahan reman lima hari mulai 14 April lalu bagi membantu siasatan berhubung dakwaan memiliki kekayaan luar biasa.

Kebenaran menahan reman itu dikeluarkan majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Abd Rahman di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Siasatan dibuat mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Adam ditahan selepas hadir untuk disoal siasat di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya kira-kira jam 2.30 petang Khamis.

Azmin yang juga menteri besar Selangor berkata, tidak ada mana-mana pihak wajar menghukum seseorang hanya kerana dia sedang disiasat.

"Jangan kita hukum seseorang semata-mata kerana siasatan sedang berjalan.

"Serahkan kepada badan yang bertanggungjawab untuk menjalankan siasatan," katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In