Rafidah jadi sasaran kritikan perhimpunan Pemuda Umno
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini sasaran kritikan wakil Pemuda Umno Perlis, Ismail Hashim berhubung pemberian AP kereta yang banyak kepada beberapa individu sahaja.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz hari ini sasaran kritikan wakil Pemuda Umno Perlis, Ismail Hashim berhubung pemberian AP kereta yang banyak kepada beberapa individu sahaja.
Ketika membahaskan usul terima kasih kepada ucapan dasar Ketua Pemuda, wakil Perlis itu melahirkan rasa terkejutnya apabila akhbar melaporkan beberapa individu telah mendapat kuota AP yang begitu banyak.
Menurutnya, jika ianya diberikan kepada 25 usahawan dari kalangan Pemuda Umno, lebih ramai korporat Melayu muda dapat dilahirkan.
Ismail yang mendapat sorakan tanda sokongan setiap kali beliau menggunakan perkataan "terkejut" berhubung isu AP, mengkritik Rafidah selaku menteri yang bertanggungjawab dalam pemberian permit import kenderaan.
"Mengapa sebegitu banyak AP dikeluarkan kepada hanya beberapa orang?" soalnya.
Sejumlah 791 perwakilan Pemuda turut memberikan tepukan gemuruh apabila Ismail secara spontan berkata: "Saya tidak mahu sebut satu perkataan tetapi tengok di Filipina apa yang sedang dihadapi Presiden Arroyo," merujuk kepada isu AP itu.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri seharusnya membantu melahirkan golongan korporat dari kalangan orang muda dan bukan hanya membantu beberapa orang sahaja.
Selain itu, Ismail ketika menyentuh isu pendidikan mencadangkan dasar meritokrasi diteruskan bagi memastikan pelajar Melayu bersaing terutama untuk mendapat tempat dalam kursus kritikal.
"Dalam usaha memperkasakan pemuda Melayu, adalah perlu dasar itu diteruskan supaya pelajar Melayu tidak terus ketinggalan dan ia juga selaras melahirkan ramai profesional Melayu," katanya.
AP permit import dan Ayah Pin
Sementara itu, Ketua Penerangannya Datuk Azimi Daim menggamatkan dewan apabila mereka membangkitkan dua isu AP Permit Import kereta dan satu lagi AP Ayah Pin yang katanya perlu ditangani dengan bijak.
Ketika membawa usul terima kasih ucapan dasar Ketua Pemuda, beliau berkata dua isu tersebut kini hangat diperkatakan masyarakat dan memerlukan perhatian serius kerajaan dan pemimpin negara.
"Kami minta kerajaan lihat kembali bagaimana orang yang menerima berpuluh-puluh ribu AP, kalau satu AP untung RM30,000, berapa dia untung?
"Kalau berniaga pun, ambil kiralah kepentingan pengguna," katanya.
Azimi berkata, beliau berpengalaman membeli kenderaan dari sebuah syarikat yang menerima AP yang pada peringkat awal memasarkannya pada harga RM160,000 tetapi kemudian menjualnya kira-kira RM100,000 selepas berjaya membuka kilang pemasangan kenderaan itu di negara ini.
"Bila kita hendak jual kereta yang dibeli dengan harga RM160,000, dia hanya hendak RM70,000, kita pula kena bayar RM30,000 lagi kat dia. Dia yang untung banyak, kita inilah macai, balaci... perkara sebeginilah yang perlu diperbetulkan," katanya.
Menyentuh isu Ayah Pin di Terengganu, Azimi berkata orang Melayu perlu berubah sikap dan tidak berfikiran sempit jika mahu berjaya.
"Ajaran Ayah Pin...benda-benda syok saja. Inilah masalah orang kita, mudah terikut dengan perkara-perkara untuk keseronokan dan hendakkan cepat senang," katanya.
Manakala Ketua Pemuda bahagian Kepala Batas Ahmad Darus ketika menyokong usul itu meminta kerajaan memberikan biasiswa penuh kepada pelajar Melayu.
"Pelajar Melayu perlu diberi biasiswa penuh seluas-luasnya untuk mencari ilmu di negara yang diperintah bangsanya. Inilah kesempatan yang perlu kita gunakan sepenuhnya semasa kita berkuasa," katanya.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.