Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kendali RM43 juta dalam 3 minggu tapi terlepas?'
Diterbitkan:  May 4, 2017 6:38 PM
Dikemaskini: 11:45 AM

Susulan pendedahan dakwaan jejak wang SRC International semalam, PKR membangkitkan persoalan berkaitan cara pihak berkuasa mengendalikan seorang peniaga yang dikaitkan dengan siasatan 1MDB.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli merujuk kepada dokumen-dokumen yang dimuat naik ke Internet, yang mendakwa RM43 juta telah ditunaikan daripada cek tunai dalam tempoh tiga minggu dua tahun lalu.

“Kenapa Bank Negara tidak mendakwa (peniaga itu) atas kesalahan pengubahan wang haram kerana tindakan mengendalikan RM43 juta secara tunai dalam tempoh tiga minggu.

“(Perkara ini) sudah tentu disedari oleh Bank Negara seawal Januari 2015 semasa cek-cek itu ditunaikan?” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Dakwanya, peniaga awal 30-an itu mengeluarkan RM8 juta melalui 16 cek tunai pada 31 Disember 2014 dan RM35 juta lagi melalui 71 cek tunai antara 15 Januari hingga 20 Januari 2015.

Rafizi juga mendakwa wang itu berasal daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB, dan melalui beberapa syarikat sebelum disalurkan ke syarikat peniaga itu sebelum ditunaikan menggunakan cek tunai.

Dakwaan-dakwaan itu dibuat berasaskan dokumen daripada Sprminsider pada Oktober 2016. Akses ke blog itu kini telah disekat oleh kerajaan.

Malaysiakini tidak dapat mengesahkan keaslian dokumen-dokumen itu secara bebas.

Tidak kira dari mana pun sumber wang itu, Rafizi berkata, Bank Negara sebagai badan pengawal selia kewangan patut berwaspada apabila pengeluaran wang tunai dalam tempoh singkat berlaku.

Beliau juga menggesa pihak polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara mendedahkan penerima wang tunai RM43 juga yang ditunaikan oleh peniaga itu.

“Apa keperluan seorang peniaga kecil seperti beliau memegang RM43 juta secara tunai?” soalnya.

Peniaga dirujuk Rafizi itu mirip dengan individu yang ditangkap SPRM pada Julai 2015 bagi dalam siasatan kes berkaitan SRC International.

Malaysiakini tidak menamakan individu itu buat masa ini sementara menunggu komen daripadanya.

Tutup kedai pada 2014

Semakan terhadap status syarikat peniaga itu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat itu ditutup pada November 2014.

Lawatan ke alamat didaftar mendapati ia terletak antara barisan kedai dan di tingkat atasnya mempunyai penghuni.

Ia kini menjadi kedai kaca dan aluminium. Pintu pagar untuk menaiki tangga juga berkunci dan tiada balasan apabila dipanggil.

Semalam, Rafizi mendedahkan dokumen “bocor” menunjukkan dakwaan beberapa bahagian Umno dan BN serta badan berkaitan media menerima dana SRC.

Dakwaan aliran wang itu juga menunjukkan pembantu Datuk Seri Najib Razak merangkap perunding kerajaan untuk proses penyelesaian 1MDB-International Petroleum Investment Corporation (IPIC) Amhari Efendi Nazaruddin menerima RM2 juta.

Amhari tidak memberikan respons terhadap soalan Malaysiakini berkaitan perkara itu.

Malaysiakini juga sedang menghubungi badan-badan dan individu disenaraikan sebagai penerima wang seperti didakwa Sprminsider.

Ada 'penerima' tak pasti

Centre for Strategic Engagement Sdn Bhd, yang didakwa menerima RM300,000, mengesahkan menjalankan kajian dan pemantauan media untuk beberapa parti-parti BN dan berkata mengenakan bayaran untuk perkhidmatan itu.

“Saya tidak tahu jika (transaksi itu) benar atau tidak.

“Apa yang boleh saya sahkan, kami buat kajian kawasan pilihan raya dan pemantauan media untuk pelbagai parti-parti BN dan kami memang caj pelanggan untuk perkhidmatan kami.

“Saya tidak persoal sumber-sumber kami. Perjanjian itu mempunyai invois yang teratur dan mempunyai rekod,” kata ketua pegawai eksekutifnya Soong Fui Kim kepada Malaysiakini ketika dihubungi semalam.

Dilaporkan juga bahawa penerima lain adalah Pengerusi Yayasan Al-Abrar Syed Mehdar Syed Abdullah “tidak pasti” sama ada yayasan itu menerima RM5 juta seperti didakwa.

Najib telah berulang kali menafikan menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi. Dana RM2.6 bilion dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dikatakan disumbangkan oleh kerabat Arab Saudi.

Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali juga telah membersihkan nama Najib daripada sebarang salah laku.

Apandi berkata tiada sebarang bukti menunjukkan Najib mengetahui atau dimaklumkan bahawa terdapat wang dipindahkan ke akaun peribadinya daripada SRC, yang kini diletakkan bawah Kementerian Kewangan yang dipimpin Najib.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS