Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS mohon solat hajat untuk Hadi Awang
Diterbitkan:  May 15, 2017 1:53 PM
Dikemaskini: 8:09 AM

Kepimpinan PAS hari ini mengajak ahli dan penyokong parti itu supaya berdoa dan menunaikan solat hajat agar presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selamat menjalani rawatan intensif di sebuah hospital di ibu negara, bermula esok.

Dalam satu kenyataan, setiausaha politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang mengesahkan berita itu meminta semua pihak tidak menziarahi Abdul Hadi ketika ini supaya beliau mendapat ruang rehat secukupnya.

“Saf kepimpinan PAS ingin mengajak seluruh ahli dan penyokong untuk sama-sama berdoa dan menunaikan solat hajat memohon pertolongan Allah, agar Tuan Guru (Abdul Hadi) menjalani rawatan dengan jayanya, dikurniakan kesembuhan, kesihatan dan kekuatan untuk terus memimpin dan membawa mesej perjuangan Islam ke serata dunia," katanya.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan jenis sakit yang dialami oleh pemimpin berusia 69 tahun itu dan di hospital mana rawatan akan dijalankan.

Ahmad Samsuri juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak kerana memberi ruang rehat secukupnya kepada Abdul Hadi yang juga adalah ahli parlimen Marang dan berkata parti itu akan mengeluarkan maklumat dari semasa ke semasa.

"Maklumat rasmi dari parti akan disampaikan dari masa ke masa mengikut keperluannya.

"Pihak keluarga dan parti ingin mengucapkan terimakasih kepada semua pihak kerana memberi ruang rehat secukupnya kepada Tuan Guru dengan tidak menziarahi beliau di waktu ini," katanya.

Nampak ceria

Abdul Hadi dilaporkan semakin uzur sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Oktober tahun lalu, akibat jadualnya yang ketat, beliau terpaksa dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi rawatan susulan biasa dan dibenarkan pulang beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun, sebulan kemudian, iaitu pada November lalu, beliau dimasukkan pula ke sebuah hospital di Terengganu selepas mengadu keletihan.

Pada Mei 2015, Abdul Hadi dirawat di sebuah hospital di Istanbul selepas mengadu sesak nafas semasa lawatan beliau ke Turki.

Beliau juga dilaporkan terpaksa dikejarkan ke sebuah hospital pada bulan April 2008 kerana diserang strok yang ringan.

Minggu lalu, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali memberitahu media beliau tidak akan mengadakan pertemuan dengan Presiden PAS itu berhubung tindakan parti Islam untuk memutuskan hubungannya dengan PKR kerana Abdul Hadi dijadual menjalani pembedahan.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man ketika dihubungi Malaysiakini memberitahu, Abdul Hadi ketika ini ceria walaupun berada di wad.

"Alhamdulillah, saya baru jumpa beliau pagi tadi.

"Saya tengok masa jumpa tadi, dia cerita dan bersedia untuk dirawat," katanya yang turut berterima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap kesihatan Abdul Hadi.

Tuan Ibrahim juga mengesahkan dirinya akan memangku tugas-tugas presiden PAS sementara Abdul Hadi menjalani rawatan intensifnya yang bermula esok.

Lihat Komen
ADS