Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng mempertahankan penjualan sebidang tanah di Peel Avenue secara runding terus dan tergesa-gesa pada harga RM156 juta dan keputusannya untuk meminjam RM1 bilion dari Bank Exim milik kerajaan China, menimbulkan kebimbangan.

Kebimbangan ini turut dimudaratkan lagi ekoran kenyataan Lim yang rakyat Pulau Pinang seharusnya berbangga kerana kerajaan Pulau Pinang boleh meminjam dari China.

Berdasarkan kepada laporan Ketua Audit Negara serta pengumuman bajet Pulau Pinang tahun lalu, perbelanjaan tahunan kerajaan Pulau Pinang diterajui DAP melonjak kepada 500 peratus berbanding 2008, iaitu tahun yang sama DAP mula mengambil alih pentadbiran negeri itu.

2008 (Sudah Diaudit) - RM283 juta
2015 (Sudah Diaudit) - RM826 juta
2016 (Sudah Diaudit) - RM980 juta
2017 ((Sudah Diaudit) - RM1,350 juta

Syarikat kemajuan utama Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut mengalami penyusutan keuntungan daripada lingkungan RM75 juta setahun kepada RM6 juta sahaja pada 2015.

Berikutan itu, tahap tunai dan simpanan tetap PDC turut berkurangan. Ia turut mengakibatkan kerajaan Pulau Pinang melalui Pejabat Ketua Menteri menyalurkan pinjaman RM609 juta kepada PDC pada 2017, yang mana Lim Guan Eng adalah pengerusi PDC, yang kemungkinan diperoleh daripada rizab negeri.

Pada tahun sebelum ini, kerajaan Pulau Pinang mampu menampung peningkatan berlipat kali ganda perbelanjaan operasi negeri dengan menjual tanah dan aset negeri secara berleluasa.

Dianggarkan tanah dan aset bernilai RM12 bilion telah dijual atau dianugerahkan sejak 2008 (tidak termasuk hak tebus guna tanah Pulau Selatan bersaiz 4,500 ekar yang kos dianggarkan RM27 bilion).

Sebelum ini, kerajaan persekutuan telah membantu Pulau Pinang melangsaikan 95 peratus hutang negeri itu dengan mengubah pinjaman RM655 juta kepada bayaran pajakan tahunan selama 45 tahun pada 2011, yang ia turut digunakan kerajaan DAP Pulau Pinang untuk bermegah kononnya berjaya menurunkan hutang negeri sebanyak 95 peratus.

Sehubungan itu, keputusan kerajaan Pulau Pinang meluluskan rang undang-undang yang memberikan exco negeri untuk mempunyai kuasa bagi membuat pinjaman berbilion ringgit dari China turut mencetus kebimbangan di kalangan rakyat Pulau Pinang.

Lim Guan Eng sejak itu menegaskan yang mereka hanya akan meminjam sebanyak RM1 bilion dari Bank Exim China.

Pada masa lalu, Pulau Pinang mampu meraih RM1 bilion dengan menjual tanah negeri, sebagai contoh penjualan 102 ekar tanah di Bayan Mutiara pada harga RM1.07 bilion pada 2011 dan dianggarkan RM1 bilion bagi penjualan tanah negeri seluas 470 ekar kepada Eco World, yang kemudiannya sudah ditender semula. (Ia ditender semula berikutan saiz tanah tidak mencukupi untuk pembinaan sebuah padang golf).

Bagaimanapun, exco Pulau Pinang Chow Kon Yeow dilaporkan sebagai berkata, pada tahun lalu tiada banyak lagi tanah negeri yang boleh dijual.

Kos PTMP melonjak

Chow turut mengesahkan yang kos bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) telah melonjak dari RM27 bilion kepada RM46 bilion, yang turut meningkatkan kebimbangan berapa banyak dana yang perlu dipinjam kerajaan Pulau Pinang.

Lanjutan kepada peningkatan 500 peratus perbelanjaan pentadbiran negeri, penyusutan jumlah tanah dan aset negeri, pengurangan rizab Pulau Pinang sebanyak RM1.5 bilion melalui pinjaman kepada PDC, kerajaan Pulau Pinang perlu memberi jaminan kepada rakyat Pulau Pinang, percaturannya adalah berbaloi dan tidak meletakkan negeri itu kepada risiko yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.

Secara khusus, kerajaan Pulau Pinang perlu mendedahkan berapa banyak tanah negeri sebelum mereka mengambil alih pentadbiran dan berapa banyak tanah sudah dijual atau dianugerahkan serta berapa baki tanah yang tinggal pada masa ini.

Kerajaan Pulau Pinang perlu mendedahkan keseluruhan butiran bagi projek RM46 bilion PTMP, atau melibatkan kos ditanggung setiap individu di Pulau Pinang sebanyak RM28,750.

Maklumat seperti itu perlu mencakupi kerangka terperinci perkongsian, perolehan dan unjuran kos bagi kedua projek serta aset masa depan PTMP seperti Transit Aliran Ringan (LRT), mengambil kira kebanyakan pengangkutan awam lazimnya tidak mendatangkan keuntungan.

Ini jelas menimbulkan kebimbangan berikutan jumlah kepadatan meliputi 700,000 penduduk sahaja di kawasan pulau di mana LRT itu akan beroperasi.

BN bimbang pengurusan berhemat kewangan dan aset Pulau Pinang sebelum ini akan binasa dek perbelanjaan dan pinjaman kerajaan DAP secara semberono.


Artikel ini pandangan Pasukan Komunikasi Strategik BN dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS