Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Tiada jaminan laluan selamat buat editor S'wak Report

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengulangi gesaannya supaya Editor, Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown datang ke Malaysia untuk membantu siasatan berhubung dakwaan laman web pemberi maklumat bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membayar RM9.5 juta kepada peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Khalid bagaimanapun berkata beliau tidak boleh menjamin laluan selamat kepada Rewcastle-Brown setibanya di Malaysia dan kembali ke England.

"Saya tidak akan jamin dia laluan selamat. Jika dia mahu datang, dia datang dan membuktikan apa sahaja tuduhan yang dibuatnya itu.

"Jika tidak, dia akan terus membuat bising (dan) tuduhan yang tidak berasas," kata Khalid pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Ketua polis negara itu sebelum ini disoal sama ada pihak polis akan menyoal-siasat Muhammad Shafee berhubung dengan laporan polis yang dibuat terhadapnya berhubung pembayaran RM9.5 juta itu.

Khalid bagaimanapun berkata, laporan yang diterima setakat ini adalah "khabar angin" berdasarkan berita dari Sarawak Report.

“Awak (Rewcastle-Brown) tuduh orang itu dan ini, awak macam pukul curi, awak pukul orang, tangan belakang.

“Kalau betul-betul ikhlas, datang. Dan buktikan apa-apa pertuduhan yang awak miliki.

"Jika tidak, ia sekadar khabar angin," katanya.

Susulan dakwaan Sarawak Report, Muhammad Shafee yang dilantik sebagai ketua pendakwa raya menerima RM9.5 juta daripada Najib, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saman pemula untuk mengketepikan sabitan kesalahan liwat terhadapnya.

Dalam saman itu, Anwar yang menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal memohon pengisytiharan bahawa sabitan kesnya tidak sah dan ultra vires atau di luar bidang kuasa perlembagaan mengenai kebebasan.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah pada 10 Feb 2015.

Pembangkang mendakwa laporan Sarawak Report membuktikan wujudnya konspirasi politik terhadap Anwar, yang berulang-kali mendakwa pertuduhan berkenaan adalah direkayasa.

Malaysiakini tidak dapat untuk mengesahkan kesahihan laporan Sarawak Report itu.

Najib sebelum ini berulang kali menafikan beliau menyalahgunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Lihat Komen
ADS