Peguam Rosmah buru 'pemfitnah' media sosial

   

Isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor mengarahkan peguamnya untuk memantau media sosial berkaitan "serangan dan tuduhan palsu" terhadap beliau.

Menurut firma undang-undang NoorHajran Mohd Noor, peguam mereka "memantau semua catatan dalam mana-mana platform media sosial dan sebarang bentuk penerbitan lain berkaitan serangan palsu dan berniat jahat" terhadap anak guamnya itu.

"Baru-baru ini, lebih banyak serangan yang berniat jahat dan tidak berasas muncul dan dibuat terhadap Rosmah Mansor di blog dan media sosial.

"Serangan ini adalah tuduhan palsu yang dibuat tanpa sebarang bukti dan/atau asas, dilakukan dengan niat jahat semata-mata untuk memburuk-burukkan nama baik Rosmah atas dakwaan salah laku yang menjejaskan reputasi beliau," kata firma itu dalam kenyataan, hari ini.

NoorHajran Mohd Noor berkata, mereka yang didapati berbuat demikian akan dikenakan tindakan undang-undang tanpa sebarang notis.

Semalam, Rosmah mengingatkan rakyat di negara ini supaya tidak mudah mempercayai fitnah yang sengaja diadakan bagi menjatuhkan pemimpin, organisasi mahupun negara.

Katanya, ada sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menggunakan sosial media bagi tujuan itu.

“Bagi melebar luas anasir-anasir kotor mereka, media sosial telah dijadikan senjata utama mereka untuk mengelirukan serta mempengaruhi minda dan fikiran rakyat.

“Natijahnya orang yang difitnah terus menjadi mangsa dan masyarakat akan dimomokkan dengan perkara tidak benar,” kata Rosmah sebelum memberi sumbangan Hari Raya di Kementerian Pertahanan Malaysia.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda