Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein mencabar Jabatan Kehakiman (DOJ) melakukan pendakwaan jika benar agensi penguat kuasa AS itu memiliki bukti berkaitan dana 1MDB.

Beliau juga menyatakan keraguannya mengenai identiti sebenar Malaysian Official 1 apabila isteri individu terbabit kini turut dibabitkan dalam skandal agensi pelaburan negara.

Bercakap kepada media di Kuala Lumpur hari ini, Hishammuddin yang juga menteri pertahanan berkata jika DOJ tidak mengemukakan dakwaan di mahkamah, ia hanya menjejaskan kredibiliti mereka.

"Saya nak nasihat, kalau DOJ mempunyai bukti-bukti yang kukuh, dakwalah, jangan buat kenyataan demi kenyataan tanpa mengambil tindakan.

"Apabila mereka (DOJ) dakwa (di mahkamah), yang yang didakwa ada ruang untuk membersihkan nama masing-masing," katanya.

DOJ pada Khamis lalu membuat kejutan degan saman sivil ketiganya untuk merampas pelbagai aset didakwa diperoleh melalui salah guna dana 1MDB.

Antara individu dinamakan DOJ dalam saman berkenaan ialah ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang, Jho Low dan anak tiri Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz.

Keadaan diambil kesempatan

Turut dinamakan dalam saman itu ialah seseorang dirujuk sebagai MO1 dan isterinya.

Saman setebal 251 halaman itu antara lain mendakwa wang bernilai AS$620 juta (RM2.6 bilion) yang sepatutnya dikembalikan kepada "penderma" malah dipindahkan kepada Low yang menggunakan wang itu untuk membeli rantai leher berlian buat isteri MO1.

Rantai meraj jambu itu dikatakan bernilai AS$27.3 juta (RM116.7 juta).

Tahun lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan mengenal pasti MO1 sebagai Najib namun menegaskan nama perdana menteri tidak disebut dalam saman berkenaan.

Justeru, katanya, Najib tidak tertakluk kepada siasatan DOJ.

Bagaimanapun Hishammuddin mempertikaikan tanggapan itu apabila ditanya sama ada MO1 adalah Najib.

"Ia boleh jadi sesiapa saja. MO1 itu mungkin (Menteri Kewangan II, Datuk Seri) Johari (Abdul) Ghani.

"Sehinggalah kita tahu fakta sebenar, sehingga mereka membuat dakwaan rasmi, macam mana kita nak tahu (siapa sebenarnya MO1)?" katanya.

Sementara itu Johari yang dihubungi Malaysiakini kemudian menjelaskan, beliau enggan memberi sebarang komen terhadap kenyataan Hishammuddin itu.

Hishammuddin yang juga sepupu kepada Najib berkata, DOJ boleh dianggap tidak bertanggungjawab dan kegagalan mereka bertindak mendorong wujud spekulasi dan ia diambil kesempatan oleh ahli politik yang oportunis

Ditanya jika saman DOJ itu akan memberi kesan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, rakyat yang akan menentukan.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS