Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apa terkandung dalam saman ketiga DOJ?
Diterbitkan:  Jun 20, 2017 12:19 PM
Dikemaskini: 4:25 AM

PANDUAN KINI l Jumlah aset yang didakwa diselewengkan dari 1MDB dan cuba dirampas oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat kini mencecah hampir AS$ 1.7 bilion (RM7.3 bilion).

DOJ mendakwa bahawa jumlah itu mewakili sebahagian daripada lebih AS$ 4.5 bilion (RM19.3 bilion) yang dicuri dari 1MDB, dan kemudiannya disalurkan menerusi sistem kewangan AS.

Ketika rakyat Malaysia masih terkejut dengan pendedahan DOJ itu, panduan Kini kali ini cuba merungkai apa yang terkandung dalam dokumn mahkamah yang setebal 251 halaman.

Saman ketiga

Saman pertama difailkan di Mahkamah Daerah California pada 20 Julai tahun lalu.

Secara keseluruhan, terdapat 17 pemfailan secara berasingan, dengan setiap satu memohon pelucutan sivil aset yang berbeza. Setiap dokumen - kira-kira 136 halaman panjang - hampir sama dengan satu sama lain, tetapi bertujuan untuk merampas aset yang berbeza.

Secara keseluruhan, matlamatnya ialah untuk merampas kira-kira 20 aset termasuk dana yang dipegang di bank, saham, harta intelektual, dan jet persendirian, dengan nilai gabungan melebihi AS$ 1 bilion.

Ketika itu, DOJ mendakwa bahawa jumlah yang diselewengkan dari 1MDB adalah kira-kira AS$ 3.5 bilion, dicuri dari firma dana pelaburan Malaysia itu melalui tiga fasa dari tahun 2009 hingga 2013.

Saman kumpulan kedua adalah berkenaan aduan tunggal yang cuba merampas harta bernilai AS$ 100 juta di daerah Mayfair yang mewah di London. Ia difailkan pada 7 Jun di Mahkamah Daerah California Tengah.

Kali ini, dokumen itu adalah setebal 144 halaman dan sedikit berbeza daripada dokumen yang difailkan tahun lalu.

Dokumen itu mempunyai seksyen tambahan yang menerangkan bagaimana harta itu dipercayai dibeli dengan menggunakan dana yang dikesan hasil penyelewengan dari 1MDB.

Di samping itu, ia mengugurkan semua rujukan terhadap putera Arab Saudi yang kononnya menyumbang dana kepada "Malaysian Official 1" dan menggantikannya dengan "Saudi Associate 1" dan "Associate Saudi 2" (atau secara kolektifnya "Saudi Account").

Apa yang baru kali ini?

Pemfailan terbaru dibuat di Mahkamah Daerah California Tengah pada 15 Jun, yang mengandungi 12 saman memohon pelucuthakan tambahan wang dan aset sebanyak AS$ 540 juta. Ia kira-kira setebal 251 muka surat.

Kali ini, DOJ mendakwa bahawa AS$ 4.5 bilion telah diselewengkan dari 1MDB, dan memperincikan bagaimana kira-kira AS$ 850 juta tdisalurkan keluar dari pinjaman yang dimaksudkan untuk 1MDB dalam fasa yang disebut "Buyback Options" antara Julai dan November 2014.

Ini adalah tambahan kepada tiga fasa yang telah dijelaskan oleh DOJ dalam pemfailan sebelumnya.

Antara lain, DOJ mendakwa bahawa wang dari "Buyback Options" itu digunakan untuk membeli barangan kemas mewah untuk pelbagai orang, dan untuk sebahagiannya bagi kapal layar mega Low Taek Jho yang bernama The Equanimity.

Ia juga mendakwa bahawa sumbangan yang sepatutnya dipulangkan semula oleh “Malaysian Official 1" kepada putera Arab Saudi (kini "Saudi Account") telah digunakan untuk membeli barangan kemas untuk isteri “Malaysian Official 1" termasuk kalung yang mempunyai berlian 22 karat berwarna merah jambu .

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS