Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Pemuda PAS hari ini memberikan 'nota takziah' kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ekoran pelantikan pemangku pengerusinya yang baru Tan Sri Isa Samad.

Nota itu diserahkan oleh Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari kepada Pengurus bahagian Komunikasi SPAD Hazimin Sulaiman.

Ketika menyerahkan nota berkenaan, Ahmar Fadhli menyatakan rasa “simpatinya” terhadap SPAD kerana bakal menerima Isa.

Dakwanya, Isa sebelum ini telah membawa masalah kepada Felda Global Ventures Berhad (FGV).

"Kita hanya nak sampaikan rasa simpati Pemuda PAS kepada SPAD," kata Ahmad Fadhli ketika menyerahkan nota berkenaan di ibu pejabat SPAD di ibu negara.

Risiko pada SPAD

Sementara itu, pada sidang media selepas menyerahkan nota tersebut, Ahmad Fadhli berkata tindakan kerajaan melantik Isa sebagai pemangku pengerusi SPAD merupakan langkah yang silap.

Malah, katanya, ia turut berisiko kepada SPAD.

"Kami anggap ini berita buruk bukan sahaja kepada SPAD tetapi seluruh rakyat Malaysia.

"Bagi kami ini satu hadiah hari raya yang sangat sedih bagi seluruh warga SPAD.

"Langkah melantik Isa Samad ini satu langkah yang sangat silap memandangkan rekod Isa sebelum ini di Felda yang tidak memuaskan sehingga beliau terpaksa letakkan jawatan," katanya.

Sehubungan itu, Ahmad Fadhil mencadangkan supaya kerajaan melantik individu yang lebih layak dan berpengalaman bagi menerajui SPAD.

"Bagi kita pengerusi yang perlu dilantik hendaklah ada pengalaman korporat yang cemerlang dan tak pernah ada rekod buruk.

"Kerajaan boleh cari individu lain yang boleh memikul tanggungjawab ini.

"Kita akan terus berkempen pada rakyat bahawa pelantikan ini bahaya.

“Kita akan sedarkan rakyat betapa pentingnya tukar kerajaan yang tak mementingkan rakyat dengan pelantikan seumpama ini," katanya lagi.

Semalam Malaysiakini melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa Isa bersetuju melepaskan jawatannya sebagai pengerusi FGV.

Malah, Najib berkata peletakkan jawatan Isa berkuat-kuasa semalam dan dibuat dengan rela hati.

Bagi menghargai peranan dalam FGV, Najib kemudian melantik Isa sebagai pemangku pengerusi SPAD berkuat kuasa serta merta.

Jawatan lama Isa dipangku bekas pengerusi Telekom Malaysia Berhad (TM), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob.

Bekas pengerusi SPAD selama tujuh tahun, Tan Sri Syed Hamid Albar pula telah bersara pada 3 Jun lalu.

Lihat Komen
ADS