Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
75,000 kunjungi rumah terbuka Aidilfitri PM
Diterbitkan:  Jun 25, 2017 5:49 PM
Dikemaskini: 9:51 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan anggota Kabinet beliau hari ini meraikan kira-kira 75,000 pengunjung pada majlis rumah terbuka Aidilfitri yang diadakan di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya.

Majlis yang bermula pada 10 pagi dan berakhir 4 petang itu turut dihadiri pelancong asing, yang sesetengahnya tiba sejak 9 pagi lagi.

Najib, yang berpakaian Baju Melayu berwarna merah kejinggaan dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, yang mengenakan Baju Kurung moden, kelihatan begitu ceria menyambut kedatangan dan berjabat tangan dengan para pengunjung ke majlis itu.

Terdahulu, Najib berkata sambutan terhadap majlis rumah terbuka itu disifatkannya sebagai luar biasa dan menggambarkannya dengan dua perkataan iaitu ‘ramai dan kepelbagaian’.

Beliau berkata Rumah Terbuka Aidilfitri 2017 adalah acara yang sangat bermakna dan merupakan sambutan yang lengkap di samping memperlihatkan keceriaan yang spontan.

Walaupun Najib dan Rosmah kelihatan agak keletihan setelah meraikan begitu banyak tetamu yang berkunjung ke kediaman rasmi beliau itu, namun mereka tetap memberikan layanan dengan penuh kemesraan.

Pada 3 petang, Najib dan Rosmah serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memotong kek Aidilfitri pada majlis rumah terbuka itu.

Najib dan isteri turut memeriahkan lagi suasana dengan menyanyikan dua buah lagu raya.

Para tetamu memberi tepukan gemuruh apabila perdana menteri dan isteri mendendangkan lagu 'Anak Kampung' nyanyian artis kelahiran Sabah, Jimmy Palikat.

Cuaca panas hari ini tidak menghalang orang ramai, termasuk pelancong asing untuk berpusu-pusu ke majlis itu.

Berikutan ancaman kumpulan militan di negara ini, para pengunjung ke majlis rumah terbuka itu dikenakan saringan keselamatan bagi menjamin keselamatan semua pihak.

Hadirin disajikan dengan pelbagai juadah tempatan seperti sate, soto ayam, ketupat, lemang dan rendang serta pelbagai masakan lain.

- Bernama

Lihat Komen
ADS