Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bila agaknya Zaid Ibrahim berdoa, bidas Nik Abduh
Diterbitkan:  Jun 27, 2017 2:23 PM
Dikemaskini: 6:31 AM

Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz membidas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Mentri, Datuk Zaid Ibrahim yang mempertikaikan tindakan seorang juruterbang AirAsia yang meminta penumpang supaya berdoa ketika pesawat penerbangan Perth-Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal.

“Saya cuba mengagak bila agaknya Zaid berdoa kepada tuhannya? Bila saatnya?

“Di dalam al-Quran di banyak tempat, Allah menggambarkan saat kegetiran terumbang-ambing dibadai gelora besar di tengah lautan apatah lagi kalau di langit tinggi seperti kes penerbangan AirAsia semalam.

“Seluruh penumpang kapal yang tak pernah ingat Allah pun akan mengangkat tangan berdoa memohon pertolongan dan pembabasan daripada kecelakaan,” katanya menerusi laman Facebook.

Pemimpin PAS itu mengulas kenyataan bekas pemimpin Umno yang kini menyertai DAP yang berkata, syarikat penerbangan tambang murah itu tidak seharusnya merestui tindakan juruterbangnya.

Dalam siri tweet semalam, Zaid berkata beliau lebih suka juruterbang tidak beritahu bahawa kematian semakin hampir.

Tulisnya, juruterbang seharusnya memberi harapan, dan sekiranya AirAsia mahu ceburi bidang agama, syarikat itu perlu melantik imam dan paderi sebenar.

Pesawat Airbus A330 dari Perth ke Kuala Lumpur itu mengalami masalah teknikal kira-kira 90 minit selepas meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Perth dan terpaksa berpatah balik.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, berdoa adalah fitrah manusia meskipun hidup dalam keadaan leka untuk mengingati Allah atau penciptanya.

“Saat bersabung nyawa disapa takdir alam milik-Nya adalah saatnya Allah tunjukkan kepada manusia hakikat kehidupan. Mereka perlukan Allah. Allah-lah empunya langit bumi dan segala kejadiannya.

“Saya doakan saatnya nanti, fitrah Zaid akan tersembul keluar. Biar Allah tunjukkan dengan hikmat-Nya bahawa untuk menagih harapan hidup dan umur lebih panjang, dia akan dipaksa fitrahnya untuk turut berdoa kepada tuhannya.

“Orang berpuasa di bulan Ramadan akan merindui doa. Orang tak puasa memang sah akan menolak doa. Saya tak jumpa lagi kes orang puasa tolak doa. Mungkin ini kes pertama?’ katanya.

Turut membidas Zaid adalah Setiausaha Dewan Ulama PAS Selangor, Muhammad Najhan Halim yang berkata, reaksi juruterbang berkenaan yang meminta penumpang berdoa sepatutnya dipuji dan disokong oleh semua pihak khasnya yang beragama Islam.

“Tabik hormat dan tahniah kepada kapten pesawat AirAsia Airbus A330 yang merupakan seorang Muslim.

“Mungkin dengan doa itu, para penumpang dan seluruh anak kapal dan pesawat berjaya berpatah balik dan mendarat dengan selamatnya. Wallahu'alam,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan menerusi Harakahdaily.

Muhammad Najhan yang tidak menyebut sebarang nama tetapi jelas merujuk kepada Zaid berkata, agak menghairankan masih ada ahli politik yang mengaku Islam tetapi bersikap skeptikal dan prejudis dengan apa sahaja berunsur agama, termasuk Islam.

Katanya, orang seumpama itu bukan "up to date" walaupun mereka merasa begitu dengan menjadikan diri mereka menolak untuk berpaut kepada agama, sedangkan hakikatnya mereka sebenarnya atau ketinggalan zaman.

“Pihak berkenaan yang mempertikaikan juruterbang yang memohon doa keselamatan, cuba merasai juga berada dalam situasi berkenaan. Pastinya dia juga akan teringat kepada Allah swt.

Mungkin dia selesa ketika itu berada di darat, sebab itu dia tak sedar.

“Doa itu adalah otak ibadah,” katanya.

AirAsia X dalam satu kenyataan berkata syarikat berkenaan sedang menyiasat punca kejadian Ahad lalu.

Ia juga memaklumkan bahawa syarikat itu sedang menjalankan siasatan ke atas kejadian itu bersama-sama dengan pengilang enjin, Rolls-Royce dan akan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa penerbangan tempatan.

Lihat Komen
ADS