Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Lepas kontroversi, Zamihan salahkan tiga media
Diterbitkan:  Oct 11, 2017 12:40 PM
Dikemaskini: 8:17 AM

Penceramah Zamihan Mat Zin menyalahkan beberapa media, terutamanya Free Malaysia Today (FMT), dan bekas menteri undang-undang Datuk Zaid Ibrahim susulan kontroversinya mengkritik sultan Johor.

Zamihan mendakwa laporan laman berita itu “jelas berniat jahat dan berunsur fitnah” dan “cuba mengeruhkan hubungan antara agamawan dan Istana” berhubung isu dobi khas untuk umat Islam sahaja.

“Bahkan FMT juga dilihat mempunyai agenda tersembunyi untuk merosakkan hubungan antara kaum dengan mencetuskan kemarahan bukan Islam terhadap umat Islam di negara ini,” dakwanya.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah (Aswaja) itu juga mendakwa FMT cuma membunuh karektornya, malah ia bukan pertama kali dilakukan.

FMT dalam laporannya memetik Zamihan sebagai berkata:

“Ada sultan kata ‘dobi mesra Muslim tak patut diadakan di negeri beta’, dan ‘ini bukan negeri Taliban…’? Tak patut Tuanku Sultan cakap macam itu."

Sultan Ibrahim pada 27 September mengarahkan kedai dobi itu menghentikan dasar itu atau berdepan risiko ditutup.

Menyifatkan langkah itu sebagai karut, baginda bertitah Johor adalah milik semua kaum dan agama dan bukan negari Taliban.

Berkaitan laporan Malay Mail Online (MMO), Zamihan mempertikaikan penggunaan gambar yang menurutnya menunjukkannya beliau “seolah-olah dalam keadaan menjelir lidah” sewaktu berceramah.

“Saya percaya naratif itu sengaja ditimbulkan bagi mencetuskan kebencian sesetengah pihak terhadap saya kerana saya seringkali menegur sesetengah pihak dengan tegas dalam isu-isu agama,” katanya.

Beliau juga berkata tindakan mengaitkannya dengan Jabatan Kemajuan Islam Malausia (Jakim) adalah salah kerana beliau sudah 13 tahun tidak berkhidmat dengan Jabatan itu.

Zamihan memberitahu Malaysiakini beliau berkhidmat untuk Jakim sehingga Julai 2006 sebelum ke Institut Latihan Islam Malaysia (Ilim).

Beliau kemudian bertugaas di institut itu sehingga 2012 dan kemudian dipindahkan ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) sehingga 2016.

“Di mana saya (kerja) sekarang rahsia,” katanya ketika dihubungi.

Zamihan memberikan tujuh hari kepada FMT, MMO, NSTP dan Zaid untuk menarik balik “tuduhan liar” dan mengemukakan permohonan maaf kepadanya saya secara terbuka.

“Jika gagal berbuat demikian saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang memfitnah saya tanpa prejudis,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas berkaitan laporan oleh media-media NSTP dalam kenyataan itu.

“Saya juga menggesa pihak berkuasa agar menyiasat artikel yang disiarkan FMT, MMO dan NSTP yang jelas berbaur hasutan dan cuba menimbulkan kebencian antara agama serta mencetuskan permusuhan rakyat berbilang kaum di negara ini,” katanya.

FMT ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak akan menarik balik laporan itu mahu pun membuat permohonan maaf kepada Zamihan.

"Kami mempertahankan laporan kami, dan tidak merancang untuk memohon maaf jika menerima surat tuntutan dari peguam (Zamihan) nanti," kata ketua pengarang Abdar Rahman Koya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Zaid dalam tweet terbarunya sebentar tadi mahukan penjelasan lanjut berkaitan kenyataannya yang dipertikai Zamihan itu.

“Dr Zamihan buat kenyataan nak saman saya kalau saya tak tarik balik kenyataan saya.

"Kenyataan mana ?Saya buat 100 kenyataan setiap hari,” tulisnya.

'Saya tak sebut nama sultan'

Mengulas lanjut kontroversi itu, Zamihan berkata dalam video yang dirujuk FMT, beliau sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau juga, katanya, tidak menggunakan perkataan yang kasar, kesat atau sebarang elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan.

“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah.

“Namun demikian, amat wajar juga disiasat gerakan 'agenda republik' untuk menghapuskan sistem kesultanan oleh segelintir pendakwah liberal Muslim di negara ini,” katanya.

Dalam kenyataan di Facebook, beliau juga berkata amat menghormati dan menyanjung tinggi raja-raja Melayu, apatah lagi Tuanku Sultan Johor yang menurutnya memang dikenali sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan berpegang teguh dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Adalah mustahil untuk saya sama sekali menuturkan kata-kata yang bersifat untuk memperlekeh atau jauh sekali untuk menghina DYMM Tuanku Sultan.

“Bagaimanapun saya merafak sembah memohon kemaafan seandainya DYMM Tuanku Sultan Johor terasa hati dengan salah faham yang timbul: Ampun Tuanku.

“Saya juga bersedia mengadap Tuanku Sultan bila-bila masa saja dari sekarang jika diperkenankan DYMM Tuanku untuk memperjelaskan perkara sebenar dan memohon maaf secara berdepan dari hati ke hati,” katanya.

Lihat Komen
ADS