Tengku Putera: Peruntukan RMK9 lebih rendah dari RMK8
Kerajaan mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), bagaimanapun jumlahnya kurang daripada peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).
Kerajaan mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk membiayai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9), bagaimanapun jumlahnya kurang daripada peruntukan dalam Rancangan Malaysia Kelapan (RMK8).
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, peruntukan yang lebih kecil itu bukan kerana kerajaan menghadapi masalah kewangan tetapi kerana kerajaan tidak melaksanakan projek mega.
Dalam RMK8 yang dilancarkan pada April 2001, kerajaan memperuntukkan RM160 bilion untuk memacu ekonomi negara yang masih terjejas teruk oleh krisis kewangan tahun 1997/1998.
Tengku Putera berkata, ketika ini semua struktur ekonomi negara sudah pulih dan mantap, hampir semua projek besar telah dilaksanakan, oleh itu projek-projek mega baru tidak diperlukan.
" Oleh kerana itu peruntukan kewangan pada RMK9 lebih kecil berbanding RMK8,"ujarnyaketika ditemui di pejabatnya di Putrajaya.
Beliau berkata, semasa ekonomi negara mengalami krisis pada 1997, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad membelanjakan wang yang banyak untuk memulihkan ekonomi.
"Kini kedudukan ekonomi sudah stabil dan apa yang kerajaan ingin lakukan ialah merancakkan semua sektor supaya negara dapat bersaing dengan perkembangan global yang dijangka lebih sengit."
"Tidak ada projek mega tidak bermakna negara tidak ada wang tetapi kerajaan membelanjakan wang berdasarkan keperluan semasa," jelasnya lagi.
Wawasan 2020
Tengku Putera berkata, kedudukan ekonomi negara sangat baik berbanding dengan negara serantau lain malah berebanding dengan Amerika Syarikat sekalipun.
"Mata wang negara kukuh dan mempunyai simpanan yang banyak untuk projek pembangunan di seluruh negara," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan RMK9 pada 31 Mac depan.
Menurut Tengku Putera, RMK9 dirancang khusus oleh Abdullah sebagai pemangkin ke arah menjayakan Wawasan 2020 bagi menjadikan Malaysia sebuah negara maju.
"RMK9 tidak lari dari dasar Wawasan 2020 tetapi ia dilaksanakan dengan strategi yang sesuai supaya selaras dengan perkembangan ekonomi global," katanya.
Mengenai pelaburan asing, Tengku Putera berkata, Malaysia masih merupakan pilihan utama walaupun menghadapi saingan sengit dari negara China.
Bagaimanapun, katanya Malaysia tetap perlu berwaspada kerana ekonomi China berkembang terlalu pantas, oleh itu negara perlu mengutamakan pelaburan berasaskan teknologi berbanding berbanding tenaga manusia.

