Enam belas persatuan dan kelab yang berkaitan dengan Islam dan Melayu memberikan peringatan kepada sembilan menteri bukan Islam agar jangan sekali-kali mengulangi tindakan mereka menghantar memorandum Perdana Menteri, mempertikaikan kedudukan undang-undang Syariah.

Bantahan itu dibuat oleh mereka dalam satu surat yang dihantar khas kepada kesembilan menteri berkenaan dengan salinannya dihantar kepada Perdana Menteri dan lain-lain pemimpin yang berkaitan dengan agama di negara ini.

"Kami ingin mempertegaskan bantahan kami dengan sekerasnya dan menolak sebarang percubaan mana-mana pihak termasuk dari YB Datuk dalam Kabinet untuk cuba merubah mana-mana perkara yang menyentuh kedudukan undang-undang Syariah dan institusi Mahkamah Syariah seperti yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan," kata surat itu.

Menurut laporan Harakahdaily.net antara yang menandatangani surat itu adalah Pengerusi Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah (ISRA), Datuk Syeikh Azmi Ahmad; Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Maamor Mansur; Yang Dipertua Persatuan Ulama Kedah, Syeikh Abu Bakar Awang dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Malaysia, Prof Madya Salleh Ahmad.

Turut menantanganinya adalah Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia, Abdul Ghani Shamsuddin; Masadah Sajadi dari Majlis Bertindak Wanita Islam Malaysia dan Yang Dipertua Persatuan Ulama Cawangan Negari Pulau Pinang yang juga Pengerusi WADAH Pulau Pinang, Prof.Madya Dr. Wan Salim Mohd Nor.

Yang lain ialah Pengerusi Institut Pengemblengan dan Pembangunan Komuniti (Impak), Haji Mahfuz Omar; Hafiz Mustaffa Lubis dari Angkatan Belia Islam Malaysia Kedah, Naib Yang Dipertua PAS Sik, Haji Yahya Abdullah; Pengerusi Kelab Masyarakat Perihatin Kedah, Haji Ismail Wan The; AJK Persatuan Perihatin Malaysia, Shahrul Anuar Mahmud; Pengurus Pusat Pembangunan Komuniti Kedah, Mohd Asri Omar; Setiausaha Dewan Pemuda PAS Kedah, Awang Soluhuddin Hasyim; Ikatan Intelektual Nusantara, Adam Abdul Malik dan Kordinator Teras Perlis, Jaafar Daud.

Surat itu pula dihantar kepada Datuk Seri S. Samy Vellu (Menteri Kerja Raya), Datuk Seri Ong Ka Ting (Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Datuk Seri Lim Keng Yek (Menteri Tenaga , Air dan Komunikasi), Datuk Seri Chan Kong Choy (Menteri Pengangkutan), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (Menteri Sumber Manusia), Datuk Dr Chua Soi Lek (Menteri Kesihatan), Datuk Dr Maximus Ongkili (Menteri Jabatan Perdana Menteri), Datuk Peter Chin Fah Kui (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Tan Sri Bernard Dompok (Menteri Jabatan Perdana Menteri).

Kata mereka, walaupun isu ini dianggap sudah selesai, namun mereka berpendirian para menteri itu harus meneliti kesan tindakan tersebut kerana ia telah menimbul kemarahan masyarakat Islam di negara ini.

"Untuk itu kami ingin menegaskan pendirian kami supaya pihak YB Datuk tidak memandang ringan terhadap pandangan kami berkaitan dengan isu yang berkaitan dengan undang-undang Syariah dan kedudukan institusi agama di Negara ini," kata mereka.

Oleh kerana memorandum tersebut telah ditarik balik, mereka mengesa para menteri berkenaan tidak mengulangi lagi percubaan seumpama itu, dalam apa bentuk sekalipun, dan mereka akan terus memantau setiap tuntutan yang menyentuh undang-undang Syariah.

"Kami menegaskan tidak ada sebarang sebab untuk merubah Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam hal Perkara 121 (1A). Sebarang masalah atau kes yang timbul yang melibatkan mana-mana individu tertentu, hendaklah di atasi secara khusus dan tidak seharusnya Perlembagaan khususnya Perkara 121 (1A) menjadi sasaran untuk diubah.

Minta maaf

"Kami menolak dan membantah memorandum yang diserah kepada Perdana Menteri yang ditandatangani YB Datuk baru-baru ini. Memorandum yang meminta supaya disemak semula peruntukan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas mempersoalkan kedudukan bidangkuasa Mahkamah Syariah," kata mereka dalam surat itu.

Menurut surat itu, peruntukan 121 (1A) yang meletakkan Mahkamah Syariah setaraf dengan Mahkamah Sivil tidak boleh dipersoalkan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persukutuan yang diluluskan di Parlimen.

"Kami menolak dengan keras percubaan mana-mana pihak untuk mentafsir Peruntukan itu sebagai suatu perkara yang menafikan hak orang bukan Islam. Sebarang percubaan tersebut dengan sengaja adalah suatu tindakan yang merbahaya dan mempunyai niat yang serong untuk mengelirukan pandangan awam terhadap institusi agama Islam di negara ini.

"Kami bertegas, bahawa percubaan buat pertama kali Menteri-menteri bukan Islam dalam Kabinet dalam hal ini, adalah suatu tindakan yang cuba mencabar wibawa dan status undang-undang Syariah di Negara ini dengan mengguna kedudukan mereka untuk menekan Perdana Menteri. Kami melihat ini sebagai tindakan yang biadap dan sangat merbahaya," tulis mereka dalam surat itu.

Bagi mereka, tuntutan memorandum itu antara lain juga mahu mengubah undang-undang Syariah yang memperuntukan anak di bawah umur 18 tahun adalah Islam bila mana-mana ibu atau bapanya memeluk agama Islam.

"Kami tidak melihat tujuan lain mengenai tuntutan ini selain daripada cuba mengubahsuai undang-undang Syariah mengikut kehendak mereka.

"Kami membantah keras percubaan untuk mengubah undang undang Syariah yang dikatakan bercanggah dengan undang-undang sivil. Sesungguhnnya tuntutan ini mempunyai niat serong untuk memburukkan imej undang-undang Syariah dan mahu meletakkan undang-undang sivil lebih tinggi dari undang-undang Syariah," kata mereka.

Bagi persatuan-persatuan itu, mereka tidak nampak tujuan lain Memorandum ini selain daripada keinginan para menteri itu untuk akhirnya meletakkan undang-undang Syariah tidak campurtangan dalam urusan kehidupan awam dan ia menjadi undang-undang yang berada dibawah undang-undang sivil.

"Ini tidak akan dapat kami terima samasekali," kata surat itu.

Sehubungan itu, mereka mengesa supaya para menteri ini jangan mengguna kedudukan masing-masing untuk kepentingan politik sempit dan cuba mengambil kesempatan dari kes-kes tertentu untuk menekan Perdana Menteri atau kerajaan supaya memenuhi tuntutan.

"Kami ingin mengingatkan bahawa sebarang percubaan untuk meneruskan usaha yang akan mencabar atau mempersoalkan kedudukan dan status undang-undang Syariah serta sebarang Institusi agama di Negara ini akan mencetuskan penentangan yang meluas dari orang Islam dan kesan selanjutnya akan menjadi sangat berat," kata mereka.

Dalam surat itu juga, mereka menggesa para menteri itu meminta maaf secara terbuka kepada masyarakat Islam di negara ini dan mereka menunggu maklumbalas dari para menteri itu.