Kira-kira 1,000 orang menyertai demonstrasi secara aman di depan bangunan Kedutaan Amerika di Kuala Lumpur hari ini sebagai membantah pendudukan berterusan tentara Amerika dan sekutunya di Iraq.

Jika pada kebiasaannya, para pedemonstrasi menjerit dan mengecam pihak-pihak berkenaan tetapi keadaannya berbeza hari ini apabila mereka membawa pelbagai sepanduk serta menyanyikan lagu-lagu bagi menyuara rasa tidak puashati mereka terhadap kerajaan Amerika Syarikat.

Bantahan hari ini yang disertai oleh kaum lelaki, wanita dan kanak-kanak dari pelbagai peringkat umur dan latarbelakang, diselingseli dengan laungan slogan anti-peperangan serta khusyuk mendengar ucapan daripada pemimpin parti parti pembangkang serta pemimpin beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Ada antara mereka yang datang sejauh Ipoh untuk menyertai demonstrasi hari ini. Kira-kira 100 anggota polis ditempatkan di depan bangunan kedutaan tersebut bagi mengawal demonstrasi yang berlangsung.

Bantahan di seluruh dunia

Demonstrasi itu dianjurkan oleh Gabungan Anti-Perang dan diketuai oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Presiden penaja PSM, Dr Nasir Hashim kemudiannya membaca 'Deklarasi Anti-Perang Kuala Lumpur'. Menurutnya, peperangan menentang keganasan anjuran Amerika menyumbang kepada ketidakstabilan global.

"Ia mencetuskan lebih banyak peperangan, keganasan, kematian, kemusnahan, Islamophobia, sikap tidak bertolak-ansur, kebencian dan merendahkan martabat hak asasi manusia," kata Nasir.

Turut berucap ialah Ahli Jawatankuasa Pusat PAS, Dr Hatta Ramli dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat, Sivarasa Rasiah.

Tiada provokasi

Ketika ditemui kemudiannya, Setiausaha Penaja PSM, S Arutchelvan berkata demonstrasi ini berjalan dengan baik dan teratur.

"Ia juga menunjukkan demonstrasi secara aman boleh dianjurkan di negara ini, dengan syarat tidak provokasi oleh pihak polis," katanya.

Tahun lalu, demonstrasi yang sama menyaksikan pihak polis menggunakan merian air untuk menyuraikan perhimpunan itu, walaupun pihak penganjur telah berjanji untuk beredar dari situ. Turut menjadi mangsa ialah wanita dan kanak-kanak yang mengadu mual dan sakit mata.

Foto oleh Colin Nicholas