Nilai komersil bahasa Malaysia kini tidak boleh dipertikaikan lagi, malah ia telah mengatasi bahasa Inggeris. Ini ditunjukkan oleh jumlah nilai pengiklanan dalam media eletronik dan pningkatan jualan akhbar Berbahasa Malaysia pada tahun lalu.

Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidin (Zam), berkata ini berdasarkan kepada peningkatan perbelanjaan iklan bagi program-program televisyen berbahasa Malaysia di semua stesen TV percuma yang bertambah daripada RM226.7 juta pada 2004 kepada RM236 juta pada tahun lepas.

Perbelanjaan iklan bagi program-program televisyen berbahasa Inggeris pula, seperti yang dikeluarkan oleh badan audit dan penarafan, AC Nielsen, mencatat penurunan daripada RM163.8 juta kepada RM130 juta dalam tempoh yang sama, katanya kepada Bernama.

Zainuddin berkata laporan Audit Bureau of Circulations (ABC) juga menunjukkan peningkatan jualan akhbar berbahasa Malaysia terutamanya akhbar tabloid yang mula mengatasi akhbar berbahasa Inggeris.

" Ini membuktikan audiens Bahasa Malaysia mempunyai kuasa beli yang besar," ujarnya.

Malah, katanya, gergasi media tempatan, Media Prima Berhad, turut mendedikasikan TV9 menggunakan Bahasa Malaysia sepenuhnya apabila ia mula beroperasi pada 22 April ini, selepas menyedari potensi besar pasaran audien bahasa kebangsaan itu.

Dalam industri muzik pula, penyanyi yang menyampaikan lagu Bahasa Malaysia mempunyai kemungkinan untuk berjaya dengan lebih cepat berbanding penyanyi yang menggunakan bahasa lain kerana pasaran audiennya lebih luas, kata Zainuddin.

Sambil mengakui pentingnya Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan antarabangsa, Zainuddin bagaimanapun menyangkal dakwaan kononnya kewujudan "golongan elit bahasa Inggeris" di negara ini menghakis kedudukan Bahasa Malaysia.

"Kalau dakwaan bahawa banyak orang elit baca surat khabar bahasa Inggeris, siapakah elit di Malaysia? Adakah elit di Malaysia orang yang tidak tahu bahasa Malaysia?

"Semua tahu bahasa Malaysia, malah generasi muda sekarang juga tahu bahasa Malaysia, jadi untuk siapa elit bahasa Inggeris ini? Siapakah elit bahasa Inggeris di Malaysia?" tanya beliau.