Mahkamah Majistret perlu mengendalikan inkues secara pantas dan berkesan untuk menentukan sebab kematian tahanan dalam jagaan polis bagi mengelak tanggapan negatif daripada orang ramai, kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob hari ini.

Tegasnya, sebarang kelewatan dalam mengendalikan inkues akan mengakibatkan orang ramai mengesyaki berlaku perbuatan khianat atau ada perkara yang disembunyikan, yang akan meningkatkan lagi tanggapan negatif terhadap polis dan pihak berkuasa terbabit.

"Mungkin kebanyakan kematian dalam jagaan polis berpunca daripada sebab semula jadi tetapi biarlah punca itu ditentukan dengan segera menerusi inkuiri yang pantas dan dikendalikan dengan baik," katanya.

Siti Norma menegaskan demikian ketika merasmikan bengkel tertutup mengenai inkues terhadap kematian dalam tahanan polis anjuran Majlis Peguam. Bengkel sehari itu dihadiri majistret, timbalan pendakwa raya dan peguam.

Menurut laporan Bernama, beliau berkata, undang-undang memperuntukkan bahawa bagi semua kes kematian dalam tahanan polis, laporan bedah siasat dan inkues perlu dikendalikan secepat mungkin.

Oleh itu, katanya, tidak harus ada sebarang bentuk kelewatan untuk menerima laporan bedah siasat atau dalam penghantaran rekod keterangan dan pendapat.

Majistret juga, kata beliau, berusaha untuk mencari kebenaran.

Perlu bertindak pantas

Oleh itu, katanya, peranan majistret umpama menjalankan siasatan, menghendaki beliau menyelidik dengan bantuan peguam serta pakar forensik mengenai sebab kematian, bagaimana si mati menemui ajalnya dan sama ada kematian itu dalam apa juga cara disebabkan atau dipercepatkan oleh perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Beliau berkata, orang ramai perlu melihat bahawa mahkamah majistret yang mewakili tingkat pertama dalam hierarki mahkamah menegakkan keadilan secara saksama dan berdasarkan undang-undang, bukan hanya kepada pendakwa tetapi juga mangsa, defendan serta saksi.

Kegagalan majistret dan timbalan pendakwaraya untuk memahami masalah yang dihadapi oleh masyarakat serta untuk bertindak pantas serta berkesan, akan berakhir dengan keputusan yang tidak adil dan tidak wajar.

Siti Norma berkata, laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia menyatakan, hanya enam inkues diadakan daripada 80 kematian orang dalam jagaan polis dari Januari 2000 hinga Disember 2004.

Bagi 22 daripada kes itu, sama ada timbalan pendakwaraya atau majistret memutuskan, inkues tidak perlu diadakan manakala dalam 39 kes yang lain, tiada keputusan dibuat sama ada inkues perlu diadakan, sungguhpun laporan kematian mengejut telah dikemukakan, kata beliau.