Pemuda PAS mendakwa Umno telah menggunakan Sultan Johor dan murid sekolah rendah untuk menjayakan sambutan ulangtahun ke-60 parti itu di Istana Besar Johor Bahru Khamis lalu.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, kehadiran Sultan Johor dan bertitah di majlis sambutan ulang tahun Umno itu, telah melanggar perlembagaan yang melarang pembabitan sultan dalam kegiatan parti politik.

Katanya, Mufti Johor Datuk Noh Gadut juga hadir di majlis tersebut dan ini menimbulkan tandatanya di kalangan orang ramai.

"Ini jelas melanggar peraturan di mana sebarang parti politik tidak boleh menggunakan istana dan murid sekolah dalam sebarang kegiatan politik mereka," katanya.

Salahuddin berkata demikian dalam satu sidang akhbar di ibu negara hari ini untuk mengulas kehadiran Sultan Johor di majlis sambutan ulang tahun Umno yang ke-60 Khamis lalu.

Sambutan tersebut diadakan di Istana Besar Johor Bahru kerana Umno ditubuhkan di istana tersebut yang diasaskan oleh Datuk Onn Jaaffar pada tahun 1946.

'Batal ujian setara'

Salahuddin berkata, Sekolah Kebangsaan Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru juga bercuti dan membatalkan ujian setara untuk memberi laluan kepada sambutan ulangtahun Umno tersebut.

Menurutnya, ibu bapa sendiri tidak tahu mengenai pembatalan ujian setara berkenaan dan sehubungan itu pihaknya menghantar surat kepada Kementerian Pelajaran dan Jabatan Pelajaran Johor untuk mendapatkan penjelasan mengenainya.

"Ini sangat malang kerana pencapaian Johor dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) sangat ketinggalan berbanding negeri lain," katanya.

Beliau berkata, mungkin berlaku juga pelanggaran kuasa oleh parti pemerintah ke atas jabatan kerajaan yang lain seperti yang sering dilaporkan sebelum ini.

Salahuddin berkata, selama ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bercakap mengenai sistem pentadbiran yang telus tetapi pelanggaran undang-undang masih berlaku tanpa sebarang tindakan.