Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 13 November ini dijangka panas dan menarik perhatian seluruh negara jika Tun Dr Mahathir Mohamad terpilih sebagai perwakilan Umno bahagian Kubang Pasu.

Bekas Perdana Menteri itu mengumumkan di Alor Star hari ini bahawa beliau akan bertanding untuk menjadi salah seorang perwakilan bahagian itu, dalam mesyuarat bahagian berkenaan pada 2 September ini.

Menurut laporan lamanweb Agendadaily, Dr Mahathir telah membuat pengumuman itu semasa menjawab soalan salah seorang hadirin selepas majlis ceramah bertajuk 'Cabaran Pembangunan Ummah' anjuran Dewan Perhimpunan Melayu Kedah di ibunegeri Kedah itu.

Kira-kira 1,000 yang hadir di majlis itu telah memberi tepukan gemuruh mendengar pengumuman Dr Mahathir itu.

Umno Bahagian Kubang Pasu kini diketuai oleh bekas Setiausaha Politik beliau, Datuk Johari Baharom yang juga Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.

Beliau menegaskan tidak akan berganjak daripada keputusan untuk bertanding sebagai perwakilan walaupun ada pihak-pihak akan berusaha memujuknya supaya jangan hadir perhimpunan tersebut.

Dalam sidang media selepas ceramah itu, Dr Mahathir mengulangi pendiriannya akan hadir pada perhimpunan itu jika dipilih sebagai perwakilan dalam mesyuarat bahagian Kubang Pasu kelak.

Cipta sejarah

Katanya, beliau tidak kisah soal protokol atau kena duduk bersama-sama perwakilan lain di bawah pentas utama.

Jika diberi peluang berucap, katanya, beliau hendak berucap dan jika, tidak beliau akan duduk menghadirinya seperti perwakilan lain sahaja.

Seorang pegawai bekas Perdana Menteri itu mengesahkan beliau telah menandatangani borang pemilihan untuk jadi perwakilan bahagian Kubang Pasu sejurus kembali dari lawatan ke China Sabtu lalu.

Setiap Umno Bahagian menghantar 13 perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno enam pemegang jawatan di peringkat bahagian serta tujuh dari kalangan ahli biasa.

Jika Dr Mahathir hadir dalam perhimpunan kali ini, maka ia merupakan kali pertama dalam sejarah Umno seorang bekas Perdana Menteri dan bekas Presiden Umno hadir sebagai perwakilan biasa.

Perhimpunan Umno kali ini akan berlangung selama 5 hari dari 13 hingga 17 November.