Penyokong Dr M terbitkan tabloid Putra Post
Sebuah akhbar tabloid memfokuskan perkembangan politik Tun Dr Mahathir Mohamad akan diterbitkan oleh sekumpulan penyokong bekas Perdana Menteri itu minggu ini.
Sebuah akhbar tabloid memfokuskan perkembangan politik Tun Dr Mahathir Mohamad akan diterbitkan oleh sekumpulan penyokong bekas Perdana Menteri itu minggu ini.
Penerbitannya diterajui oleh Gen M, sebuah kelab penyokong Dr Mahathir yang sebelum ini menyelaraskan program "roadshow" bekas Perdana Menteri itu.
Tabloid yang diberi nama Putra Post akan berada di pasaran menjelang mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu Sabtu ini. Keluaran sulung Putra Post sebanyak 50,000 naskhah dan dijual dengan RM2.50 senakhah.
Ia beroperasi di Taman Sri Angsana Hilir, Ampang dan dikatakan ia dibiayai oleh beberapa ahli perniagaan yang merupakan penyokong kuat Dr Mahathir.
Sumber akhbar berkenaan memberitahu malaysiakini , sebahagian besar berita mengenai isu-isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir seperti Jambatan Bengkok dan permit import kereta (AP) akan disiarkan secara terperinci.
"Tetapi keluaran sulung ini akan memfokus kepada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kubang Pasu di mana Tun Dr Mahathir dan anaknya Datuk Mukhriz bertanding sebagai perwakilan untuk ke Perhimpunan Agung Umno November ini.
" Kebanyakan berita politik adalah berkisar mengenai politik Umno terutama isu-isu semasa yang berlaku dalam parti itu,"tambahnya.
Bagaimanapun, seperti akhbar tabloid lain berita mengenai politik pembangkang dan berita semasa akan turut disiarkan.
Menurut sumber itu lagi, penyebaran maklumat berhubung isu yang dibangkitkan oleh Dr Mahathir ini perlu dibuat menerusi bahan bercetak walaupun selama ini ia telah banyak disebarkian melalui laman-laman web termasuk yang dimiliki oleh Gen M.
"Tetapi penyebaran melalui laman web tidak dapat dibuat secara menyeluruh terutama kepada penduduk kampung dan luar bandar. Jadi kami harap dengan adanya Putra Post masalah tersebut dapat diatasi," katanya lagi.
"Akhbar Putra Post mempunyai permit penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Keselamatan Dalam Negeri dan akan dikeluarkan setiap dua minggu," katanya ketika dihubungi hari ini.
Bagaimanapun, malaysiakini gagal menghubungi pengarang Putra Post, Mohd Rawi bagi mendapatkan maklumat tambahan mengenai penerbitan tabloid itu.
Lapor komen ini


Anda pasti mahu padam komen ini?
Komen anda tidak akan boleh dikembalikan semula.