AP palsu: Senator Muhammad buat laporan polis terhadap kumpulan NST
Senator Datuk Muhammad Abdul Gani membuat laporan polis terhadap kumpulan akhbar The New Straits Times (NST) yang menuduh beliau mengklon dan menjual 1,000 permit import kereta (AP) palsu sejak tiga tahun lalu.
Senator Datuk Muhammad Abdul Gani membuat laporan polis terhadap kumpulan akhbar The New Straits Times (NST) yang menuduh beliau mengklon dan menjual 1,000 permit import kereta (AP) palsu sejak tiga tahun lalu.
Beliau membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu jam 2.35 petang tadi.
Dalam laporannya itu, senator itu mendakwa ketiga-tiga akhbar keluaran kumpulan NST iaitu Berita Harian, NST dan Harian Metro sengaja menyiarkan berita yang tidak betul untuk memburuk-burukkannya sebagai Senator, ahli politik, ahli perniagaan dan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia.
"Laporan yang menuduh syarikat saya mengklonkan lebih 1,000 AP sejak tiga tahun lalu amat keterlaluan dan tidak benar sama sekali," kata Muhammad kepada malaysiakini hari ini.
"Saya juga sedang menimbang untuk membuat tuntutan saman dari ketiga-tiga akhbar tersebut kerana laporan yang boleh menjatuhkan imej saya dan syarikat," tambahnya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar hari ini yang melaporkan sebuah syarikat milik seorang Senator dipercayai mengklon lebih 1,000 AP sehingga mengaut keuntungan RM500,000 sebulan sejak tiga tahun lalu.
Menurut akhbar berkenaan, Muhammad disyaki bekerjasama dengan anak lelakinya juga seorang ahli perniagaan menjalankan kegiatan menjual AP kereta klon.
AP palsu itu dikatakan dijual pada harga antara RM30,000 hingga RM40,000 setiap satu kepada syarikat pengimport yang berdaftar dengan kerajaan.
Senator berkenaan bagaimanapun mengakui memiliki syarikat pengedar kereta yang mendapat 500 AP setahun dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Tetapi katanya, beliau tidak terbabit lagi dalam pengurusan syarikat tersebut kerana telah menyerahkan segala urusan perniagaan kepada anaknya.
"Saya tidak tahu menahu dengan kegiatan tersebut kerana saya tidak lagi aktif dalam perniagaan kerana memberi tumpuan kepada politik dan kerja dalam persatuan,"jelasnya.
Menurutnya lagi, syarikat berkenaan diuruskan oleh anaknya bersama beberapa orang rakan kongsi lain.
"Saya tidak tahu menahu tentang pengklonan AP ini. Saya telah membuat laporan polis, kini terpulang kepada polis dan kastam untuk menjalankan siasatan," katanya lagi.
Muhammad juga memberitahu bahawa beliau telah menghubungi Pengarah Bahagian Pencegahan Kastam, Mohamed Adnan Ariffin dan pegawai berkenaan menafikan ada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes tersebut.

