Kerajaan bersetuju dengan permintaan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) untuk menaikkan tarif bekalan air di Lembah Klang sebanyak 15 peratus.

Bagaimanapun, Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, kenaikan itu tidak akan membebankan golongan berpendapatan rendah yang mewakili 42 peratus daripada jumlah penduduk di kawasan itu.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Gerakan di Kuala Lumpur hari ini, Dr Lim berkata, dadangan kenaikan kadar itu dipersetujui dalam mesyuarat Jemaah Menteri Rabu lalu.

Bagaimanapun, katanya, tarikh penguatkuasaan kenaikan kadar itu akan diumumkan kerajaan Selangor nanti.

Menurut laporan Bernama, Dr Lim berkata kerajaan telah bersetuju terhadap permintaan Syabas itu selepas audit oleh ketua audit negara mengesahkan syarikat itu telah berjaya mengurangkan air tanpa hasil (NRW) sebanyak lima peratus.

Syabas, anak syarikat Puncak Niaga Holdings mengambil alih operasi bekalan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada 1 Januari tahun lalu selepas penswastaan Perbadanan Urus Air Selangor (Puas).

Di bawah perjanjian konsesi, Syabas disyaratkan mengurangkan paras NRW sebanyak lima peratus dalam tahun pertama operasi sebelum ia boleh dibenarkan menaikkan kadarnya.

Tampung hutang

Dr Lim menjelaskan, Syabas menanggung hutang sebanyak RM2.3 bilion selepas mengambilalih Puas di bawah urusniaga penswastaan itu dan keuntungan RM200 juta yang dilaporkan tahun lalu, tidak mencukupi untuk menampung hutang tersebut.

Puas menanggung kerugian RM60 juta sebulan atau RM600 juta sehingga RM700 juta setahun, menyebabkan syarikat itu berhutang RM2.3 bilion dengan tiga syarikat rawatan air.

"Masalah itu masih ada. Syabas menanggung hutang RM2.3 bilion daripada Puas dan mereka perlu membayar semua ini. Mereka membayar hutang ini dengan cara mengurangkan NRW dan meningkatkan keuntungan mereka," katanya.

Dr Lim berkata. kerajaan masih perlu membayar pampasan kepada Syabas tahun ini kerana mereka sepatutnya boleh menaikkan tarif air pada Januari tahun ini selepas memenuhi syarat itu.

Bagaimanapun, ia tertangguh berikutan proses audit yang dijalankan ketua audit negara untuk menentukan sama ada Syabas telah memenuhi syarat pengurangan NRW sebanyak lima peratus.

"Ketua audit negara hanya siap audit itu bulan ini," katanya.

K'jaan bayar tunggakan

Katanya kerajaan masih perlu membayar Syabas pampasan berjumlah RM152 juta jika tarif baru itu berkuatkuasa bulan depan. Ini kerana di bawah perjanjian konsesi, syarikat itu akan menerima bayaran tunggakan kenaikan tarif air bermula dari tarikh konsesi itu berkuatkuasa.

"Kerajaan juga perlu membayar RM170 juta tahun depan, RM190 juta pada 2008 jika ia tidak membenarkan tarif air dinaikkan sebanyak 15 peratus tahun ini," katanya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, kenaikan 15 peratus itu tidak akan menjejaskan mereka yang menggunakan kurang daripada 20 meter padu air sebulan manakala mereka yang mengguna antara 20 dan 25 meter padu akan menyaksikan sedikit peningkatan sebanyak tujuh peratus.

Katanya, berdasarkan kajian kementerian, kira-kira 42 peratus penduduk di Lembah Klang menggunakan kurang daripada 20 meter padu air sebulan manakala 28 peratus menggunakan kurang 25 meter padu sebulan.

Beliau juga berkata kajian kementerian itu juga menunjukkan bahawa sebuah keluarga dengan lima anggota menggunakan kurang daripada 30 meter padu air sebulan.

"Ini bermakna tidak ada kenaikan langsung kepada mereka yang menggunakan kurang daipada 20 meter padu manakala mereka yang menggunakan kurang daripada 25 meter padu air sebulan akan mengalami kenaikan minimum," katanya.

Ditanya bila tarif baru air itu akan berkuatkuasa, Dr Lim berkata "kita perlu berbincang bila untuk menguatkuasakannya. Saya masih berbincang dengan kerajaan Selangor bila untuk mengumumkannya".