Dalam reaksi yang dianggap paling keras setakat ini, Pemuda Umno Terengganu meminta Tun Dr Mahathir Mohamad keluar daripada Umno jika bekas Perdana Menteri itu terus menerus tidak bersetuju dan lantang mengkritik kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Manakala Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid pula menyarankan Dr Mahathir melepaskan jawatan penasihat di beberapa agensi kerajaan jika berhasrat untuk terus mengkritik Perdana Menteri.

Di Kuala Terengganu, Ketua Pemuda Umno Terengganu, Mohd Sabri Alwi berkata sikap Dr Mahathir yang berterusan mengkritik walaupun baru mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri menggambarkan seolah-olah beliau masih ingin berkuasa, walaupun pada hakikat beliau telah menjadi seorang pesara.

"Sepatutnya Majlis Tertinggi Umno mengenakan tindakan disiplin terhadap Tun Dr Mahathir kerana tindakannya itu menyebabkan rakyat keliru dan boleh memecahbelahkan perpaduan Umno serta orang Melayu.

"Sekarang beliau hanya bekas pemimpin parti dan telah menjadi seorang ahli biasa, beliau tidak sepatutnya bertindak keterlaluan dengan berterusan mengkritik seolah-olah merasakan dia masih mempunyai kuasa sebagai seorang presiden," katanya.

Menurut laporan Bernama, Mohd Sabri yang ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Jalan Kamaruddin hari ini berkata sudah sampai masanya bekas Perdana Menteri itu berhenti bercakap sebelum keadaan menjadi bertambah kusut.

'Cukuplah...'

"Cukuplah... dah bersara buatlah cara bersara. Sudah 22 tahun dia berkuasa dan sudah 22 tahun orang mendengar cakapnya. Dah sampai masa dia berhenti bercakap dan berilah peluang kepada Pak Lah untuk memimpin pula kali ini," katanya.

Manakala di Kuala Nerang, Kedah, Menteri Besar Kedah berkata: "Jika Tun Dr Mahathir hendak lanyak kerajaan juga, eloklah lepaskan semua jawatan itu dan jadilah individu bebas yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan, barulah betul. Jika tidak apa gunanya jadi penasihat.

"Pada masa yang sama Tun membuat kritikan terhadap kerajaan, beliau masih menjadi penasihat kepada banyak agensi kerajaan seperti Petronas, Proton dan LADA (Lembaga Pembangunan Langkawi)," kata Mahdzir dalam laporan Bernama.

Sambil menyatakan beliau tidak lagi yakin dengan bekas Perdana Menteri itu, Mahdzir menganggap kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Abdullah sebagai perbuatan seorang ahli Umno yang melampaui batas.

Ketika ditanya pemberita di majlis rumah terbuka Hari Raya peringkat Dewan Undangan Negeri kawasan Pedu di Dewan Orang Ramai Pekan Naka anjuran beliau dekat sini, Mahdzir berkata: "Masa Tun memerintah tiada orang berani mengkritik beliau. Dia guna kuasa dia, guna ISA tangkap orang dan sekarang dia kata negara ini telah menjadi negara polis."

Menteri Besar itu menganggap Dr Mahathir bercakap bagi pihak orang lain apabila beliau menulis surat kepada media mengenai orang yang menentang Abdullah ditangkap dan projek mereka dibatalkan.

Utamakan musyawarah

Katanya, kesediaan Abdullah untuk ditegur dan mengutamakan musyawarah dalam membuat keputusan adalah sikap terpuji dan ikhlas Perdana Menteri.

Bagaimanapun tindakan Dr Mahathir menghebahkan kepada umum beliau "bercakap seorang diri" selama satu setengah jam pada perjumpaan dengan Abdullah baru-baru ini seolah-olah mengugut Perdana Menteri yang tidak banyak bercakap.

"Tun perlu sedar perbuatannya (mengkritik) tidak pernah dibuat oleh bekas-bekas Perdana Menteri sebelum ini," kata Mahdzir.

Menteri Besar berkata beliau yakin tindakan keras Dr Mahathir untuk terus mengkritik kerajaan akan menyebabkan orang ramai khususnya ahli Umno hilang rasa hormat kepadanya sebagai negarawan.

"Saya rasa orang Kedah sendiripun malu dengan tindakan Tun dan akan hilang rasa hormat kepada dia," tambah Mahdzir.

Menurut Mahdzir sebagai bekas Perdana Menteri adalah wajar bagi Dr Mahathir memberi peluang kepada kepimpinan sekarang untuk mentadbir negara.

Tidak disenangi ramai

Katanya Perhubungan Umno Kedah tidak perlu memberikan penjelasan kepada anggotanya sebab yakin mereka sudah melihat situasi dalam perspektif yang berlainan berbanding pada awal Dr Mahathir melemparkan kritikan terhadap kerajaan.

Di Pulau Pinang pula, kritikan berterusan Dr Mahathir terhadap kepimpinan Perdana Menteri tidak disenangi pemimpin-pemimpin komponen Barisan Nasional (BN) negeri.

Pengerusi BN Negeri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, yang juga Ketua Menteri tidak bersetuju dengan dakwaan Dr Mahathir kononnya sesiapa yang menyoal atau mengkritik Perdana Menteri akan dikenakan pelbagai tindakan.

"Kalau begitu, maka ramai pemimpin pembangkang akan mengadu sebab mereka yang sentiasa mengkritik bukan saja melalui akhbar, malahan internet. Tanyalah mereka sama ada mereka disekat, digugat atau diancam," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Stesen Televisyen dan Pusat Berita Kolej Han Chiang hari Sabtu.

Beliau berkata, selama ini banyak pendedahan mengenai pentadbiran kerajaan disiarkan media dan yang terbaru, melibatkan anggota majlis perbandaran.

"Walaupun pendedahan sedemikian dianggap menjejaskan imej kerajaan, namun tidak menjadi masalah sekiranya ia mempunyai maklumat yang tepat," katanya.

Di Kepala Batas, Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Azhar Ibrahim berkata, Dr Mahathir seolah-olah suka mencetuskan kontroversi yang tidak berkesudahan.

"Setahu saya, dulu masa Dr Mahathir memerintah, banyak orang ditangkap menurut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tapi waktu Pak Lah ramai tahanan ISA yang dilepaskan, macam mana nak kata Malaysia negara polis dan sedang diselubungi ketakutan," katanya.